SHAH ALAM, 23 JUN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menawarkan 55 petak jualan durian di 15 lokasi terpilih sempena musim buah yang berlangsung dari 1 Julai hingga 31 Ogos depan.
MPAJ menerusi kenyataan memaklumkan kemudahan itu ditawarkan menerusi Lesen Penjaja Sementara MPAJ 2026 bagi Jualan Buah Bermusim (Durian), dengan permohonan kini dibuka kepada peniaga yang berminat.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, lokasi jualan melibatkan lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pandan Indah, Teratai, Lembah Jaya, Bukit Antarabangsa dan Hulu Kelang.
“Antara lokasi yang ditawarkan ialah di bahu jalan Taman Cempaka, berhampiran Bulatan Mawar Taman Mawar, tempat letak kereta Laman Rekreasi Tasik Tambahan, Laman Santai Ampang Point, Pasar Malam Taman Melawati dan beberapa lokasi lain,” katanya.
MPAJ berkata pemohon perlu terdiri daripada warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas, manakala waktu operasi jualan ditetapkan dari 7 pagi hingga 12 tengah malam dengan konsep jualan secara bungkus sahaja.
Katanya, pemilik lesen juga bertanggungjawab memastikan kebersihan kawasan perniagaan serta melaksanakan kawalan trafik bagi tujuan keselamatan lalu lintas.
“Para peniaga diingatkan supaya mendapatkan Lesen Penjaja Sementara MPAJ 2026 bagi Jualan Buah Bermusim (Durian) di lokasi yang ditetapkan oleh MPAJ terlebih dahulu sebelum menjalankan aktiviti jualan,” katanya.
Permohonan boleh dibuat di Kaunter Lesen di Lobi Aras 4, Menara MPAJ. Sebarang pertanyaan lanjut, hubungi Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan MPAJ di talian 03-4285 7344.







