SHAH ALAM, 23 JUN: Selangor memerlukan masa untuk memperluaskan stok simpanan makanannya secara berperingkat berikutan komitmen kewangan dan logistik yang besar, namun yakin mampu mencapai matlamat jangka panjang untuk mengekalkan bekalan makanan bagi tempoh tiga bulan.
EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato’ Izham Hashim berkata Gudang Makanan Selangor (GMS) merupakan komponen penting dalam usaha negeri memperkukuh jaminan bekalan makanan serta memastikan bekalan mencukupi ketika berdepan situasi kecemasan seperti banjir.
Beliau berkata bagi mengekalkan simpanan makanan bersamaan 15 peratus daripada keperluan makanan negeri, ia memerlukan kos kira-kira RM50 juta merangkumi barangan asas seperti ayam, ikan, daging lembu, minyak masak dan beras.
“Untuk menyediakan bekalan makanan selama sebulan kepada tujuh juta penduduk Selangor, kita memerlukan kira-kira RM350 juta hanya untuk membeli makanan.
“Jika kita mahu mengekalkan bekalan makanan selama tiga bulan untuk tujuh juta penduduk, kita memerlukan hampir RM1 bilion,” katanya ketika menggulung perbahasan Pakej Pengukuhan Ketahanan Selangor (SREP) Fasa 2 pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Mengambil kira skala pelaburan yang diperlukan, Izham berkata kerajaan negeri melaksanakan program GMS secara berperingkat bagi membangunkan infrastruktur dan sistem pengurusan yang diperlukan.
“Kita memerlukan masa untuk meningkatkan stok secara beransur-ansur. Perkara ini bukan mudah. Saya yakin sedikit demi sedikit, kita akan mencapai matlamat utama iaitu mempunyai bekalan makanan mencukupi untuk tempoh tiga bulan bagi seluruh rakyat Selangor menerusi GMS.”
Beliau berkata inisiatif itu bukan sekadar menyimpan makanan, sebaliknya turut melibatkan pengurusan pusing ganti stok bagi mengelakkan kerosakan atau pembaziran.
“Melalui GMS, matlamat kita adalah mempunyai stok simpanan atau stok penimbal makanan supaya dalam apa jua situasi krisis, kita boleh melepaskan bekalan ke pasaran bagi menstabilkan harga makanan. Itu memang hasrat kita, tetapi bukan mudah untuk memulakan sesuatu dari awal.”
Menurutnya, pengurusan stok makanan memerlukan perancangan rapi termasuk penggantian bekalan secara berkala bagi barangan seperti beras, ayam, ikan dan daging.
“Beras, jika disimpan melebihi setahun, akan menjadi stok lama. Jadi kita perlu memastikan ia digilirkan setiap satu atau dua bulan dengan sebahagian stok digantikan.”
Izham turut memaklumkan kerajaan negeri sedang meneliti penggunaan teknologi pembungkusan seperti kaedah vakum yang mampu memanjangkan tempoh simpanan beras daripada setahun kepada dua tahun.





