Gudang Makanan Selangor simpan 5,000 tan beras, cukup untuk dua bulan

21 Apr 2026, 5:44 AM
Gudang Makanan Selangor simpan 5,000 tan beras, cukup untuk dua bulan

SHAH ALAM, 21 APRIL: Gudang Makanan Selangor (GMS) kini menyimpan kira-kira 5,000 tan beras yang mampu menampung keperluan penduduk selama dua bulan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha sedang dipergiat untuk meningkatkan kapasiti simpanan kepada 15,000 tan bagi memastikan bekalan dapat bertahan sehingga enam bulan.

“Simpanan beras yang telah dikumpul dalam tempoh dua tahun selepas memperkenalkan polisi GMS adalah lebih 5,000 tan dan kita akan mempergiatkan menambah menjadi 15,000 tan.

“Dengan anggaran 5,000 tan tersebut, sebenarnya kita mampu bertahan dalam sebulan setengah hingga dua bulan walaupun tidak ada beras import.

“Kalau dapat tingkatkan sehingga 15,000 tan bermakna dapat tingkatkan antara lima, enam bulan kemampuan daya tahan makanan dan juga makanan asas rakyat,” katanya pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sesi pertanyaan lisan pada Sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 21 April 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika mengulas kesan yang mungkin ditanggung Selangor susulan konflik di Asia Barat.

Selain bekalan beras, Amirudin berkata GMS turut menyimpan sumber protein seperti daging dan ikan bagi memastikan keperluan pemakanan seimbang penduduk terus terjamin.

Awal bulan ini, EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim memberi jaminan bekalan makanan untuk kegunaan kecemasan di Selangor mencukupi bagi menampung keperluan semasa.

Menurutnya, bekalan sedia ada di GMS mampu menampung keperluan kira-kira 20 peratus penduduk setiap bulan hingga akhir tahun ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri merancang untuk meningkatkan kapasiti simpanan meliputi makanan ruji dan sumber protein kepada 40 peratus keperluan bulanan menjelang tahun depan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.