Jamin bekalan makanan cukup, tampung keperluan bulanan

2 Apr 2026, 6:00 AM
Jamin bekalan makanan cukup, tampung keperluan bulanan

SHAH ALAM, 2 APR: Kerajaan Negeri memberi jaminan bekalan simpanan makanan untuk kegunaan kecemasan kepada penduduk Selangor mencukupi untuk menampung keperluan semasa.

Menurut EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim, bekalan sedia ada di Gudang Makanan Selangor (GMS) mampu menampung keperluan 20 peratus penduduk pada setiap bulan hingga akhir tahun ini.

Katanya, simpanan meliputi makanan ruji dan sumber protein itu juga akan dipertingkat pada tahun depan supaya 40 peratus bekalan itu boleh disalur kepada penduduk setiap bulan.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian, Dato' Ir Izham Hashim. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Beliau menjelaskan peningkatan kapasiti tersebut bertujuan memastikan bekalan makanan sentiasa tersedia meskipun berlaku gangguan aliran rantaian ekoran konflik di Asia Barat.

"Kita nak kekalkan 20 peratus setiap bulan sehingga hujung tahun. Tahun depan meningkat kepada 40 peratus, kemudian 60 peratus, 80 peratus hingga lengkap 100 peratus," katanya kepada Media Selangor.

GMS dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Mac tahun lalu bagi memastikan rantaian bekalan kekal selain membantu kestabilan harga barang asas semasa krisis.

Ia beroperasi menggunakan kemudahan di syarikat logistik Tiong Nam di Pelabuhan Klang dekat sini yang menempatkan 5,000 tan beras dan 1,000 tan daging sejuk beku Allana.

Pada 20 Mac, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bekalan di GMS akan dipertingkat sehingga mampu menampung keperluan selama enam bulan ekoran konflik Asia Barat.

Katanya, sasaran itu asalnya dijangka dicapai dalam dua hingga tiga tahun lagi tetapi usaha itu dipercepat bagi memastikan kesinambungan bekalan makanan kepada rakyat tidak terjejas.

Ir Izham memberitahu pengurusan bekalan makanan dilakukan secara sistematik bagi memastikan kualiti produk sentiasa terjaga dan tidak rosak.

“Contohnya beras. Kita tak simpan lebih setahun, kalau tak akan rosak. Jadi, kita pastikan semua simpanan dikeluarkan untuk jualan. Lepas itu, ganti balik pada kuantiti sama," katanya.

Beliau percaya pertambahan bekalan makanan di GMS dibuat secara berperingkat dan dijangka mencapai 100 peratus menjelang 2030 melalui peruntukan sebanyak RM200 juta.

“Kita baru mula (tahun lalu), kita tak boleh beli semua sebab kosnya terlalu tinggi selain berdepan isu penyimpanan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.