MPAJ belanja RM2 juta sokong ekosistem pendidikan lebih 40 sekolah

23 Jun 2026, 7:36 AM
MPAJ belanja RM2 juta sokong ekosistem pendidikan lebih 40 sekolah
MPAJ belanja RM2 juta sokong ekosistem pendidikan lebih 40 sekolah
MPAJ belanja RM2 juta sokong ekosistem pendidikan lebih 40 sekolah
MPAJ belanja RM2 juta sokong ekosistem pendidikan lebih 40 sekolah

AMPANG JAYA, 23 JUN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memperuntukkan kira-kira RM2 juta setahun bagi menyokong pembangunan ekosistem pendidikan di kawasan pentadbirannya menerusi penyediaan pelbagai kemudahan dan infrastruktur.

Timbalan Yang Dipertuanya, Ts Hasrolnizam Shaari berkata bantuan itu melibatkan penyediaan laluan pejalan kaki, pencahayaan serta papan tanda di luar kawasan sekolah bagi memastikan persekitaran yang lebih selamat dan kondusif kepada pelajar.

Menurut beliau, walaupun pendidikan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan, MPAJ mengambil pendekatan menggunakan bajet majlis untuk membantu memenuhi keperluan berkaitan pendidikan di kawasan Ampang Jaya.

Selain infrastruktur, katanya MPAJ turut membenarkan penggunaan kemudahan lain seperti bas, dewan, gelanggang secara percuma atau pada kadar minimum kepada lebih 40 sekolah di kawasan Ampang Jaya.

“Dalam konteks tersebut kita tidak menyediakan peruntukan spesifik kerana seperti sedia maklum aktiviti pendidikan tertakluk di bawah Kementerian Pendidikan. Tetapi MPAJ ambil pendekatan, bajet majlis kita guna sama untuk keperluan pendidikan.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hasrolnizam Shaari ketika ditemui di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati, Ampang Jaya pada 23 Jun 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Dalam lingkungan RM2 juta itu, MPAJ bantu selaras dan bina kemudahan infrastruktur yang diperlukan di luar kawasan sekolah seperti laluan penjalan kaki dan papan tanda.

“Dengan bantuan ini, walaupun MPAJ kekurangan hasil sedikit sekitar RM1 juta lebih setahun, tapi kita melihat perkembangan potensinya kepada masyarakat yang mana anak-anak yang belajar mendapat kemudahan baik sekali gus memberi suntikan untuk pembangunan pelajar,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian Konvensyen Pendidikan Ampang Jaya yang disempurnakan Setiausa Politik Menteri Pendidikan, Rozzana Zainal Abidin di Pusat Konvensyen MPAJ hari ini.

Menurutnya, semua pihak boleh memohon menggunakan kemudahan milik majlis, namun bagi institusi pendidikan ada pertimbangan khas diberikan bagi membantu melancarkan pelaksanaan program pendidikan.

“Seperti mana sedia maklum, PBT beri perkhidmatan kemudahan dan ia terbuka kepada semua pihak. Pihak sekolah masih perlu buat permohonan cuma bezanya kita beri pertimbangan, kelonggaran dan majoriti secara percuma supaya melancarkan usaha di peringkat sekolah dan bantu ringankan beban ibu bapa,” katanya.

Sebelum ini, Hasrolnizam memaklumkan MPAJ merekodkan kutipan cukai taksiran RM45 juta bagi tempoh 1 Januari hingga 30 April tahun ini dan dalam tempoh sama pihaknya berjaya mengutip tunggakan cukai taksiran berjumlah RM9 juta.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hasrolnizam Shaari (tengah) bergambar bersama guru selepas Konvensyen Pendidikan Ampang Jaya Tahun 2026 di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati, Ampang Jaya pada 23 Jun 2026. Turut sama Setiausaha Politik Menteri Pendidikan Rozzana Zainal Abidin dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.