SHAH ALAM, 23 JUN: Kerajaan negeri menyasarkan penjimatan kira-kira RM230 juta tahun ini menerusi pengurangan perbelanjaan tidak kritikal dan akan menyalurkan semula penjimatan tersebut kepada bantuan kewangan untuk rakyat melalui pakej rangsangan yang diperkenalkan.
Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penjimatan itu diperoleh hasil penstrukturan semula perbelanjaan negeri, termasuk pengurangan lima peratus perbelanjaan mengurus dan 10 peratus perbelanjaan pembangunan.
Daripada jumlah RM230 juta itu, sebanyak RM93 juta dijana melalui pengoptimuman perbelanjaan mengurus manakala RM137 juta lagi hasil penjimatan dalam perbelanjaan pembangunan.
Beliau berkata tidak semua peruntukan bagi dua fasa Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor (SREP) akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
“Sebagai contoh, kos penyediaan makanan percuma kepada pelajar sebahagian besarnya akan ditanggung oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya ketika menggulung perbahasan SREP Fasa 2 pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Pakej berkenaan melibatkan peruntukan keseluruhan RM355.06 juta, dengan RM145.8 juta diperuntukkan bagi Fasa 1 dan RM209.26 juta bagi Fasa 2.
Amirudin berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa bidang yang boleh dikurangkan perbelanjaannya, termasuk aktiviti tidak kritikal seperti lawatan ke luar negara dan program permukiman, tanpa menjejaskan inisiatif berkaitan kebajikan rakyat.
“Kita tidak akan mengurangkan perbelanjaan yang melibatkan kebajikan rakyat. Fokus kita adalah kepada perbelanjaan berkaitan projek, khususnya yang masih berada pada peringkat awal.
“Bagi sesetengah projek seperti yang melibatkan aspek seni bina, perancangan dan reka bentuk, kita mungkin perlu menangguhkannya sementara waktu atau membuat keputusan sama ada ia perlu diteruskan terlebih dahulu,” katanya.
Sementara itu, keputusan mengadakan sidang khas bagi membentangkan SREP Fasa 2 sebelum langkah-langkah berkenaan dilaksanakan bertujuan mendapatkan pandangan daripada wakil kerajaan dan pembangkang.
Beliau berkata langkah itu diambil susulan cabaran ekonomi yang timbul akibat konflik berterusan di Asia Barat, yang memerlukan tindak balas secara bersama, selain membuka ruang kepada cadangan alternatif yang boleh dipertimbangkan kerajaan negeri.
“Kenapa kita tidak guna kaedah lazim umum dan laksana segera? Sebab lihat ada ruangan keterlibatan keseluruhan mekanisme dan struktur kerajaan dalam menangani hal ini.
“Justeru, kita bawa ke dewan supaya ahli dewan ada pandangan dan cadangan balas yang boleh dipertimbang,” katanya pada sesi penggulungan pakej itu di Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Menurut Amirudin, pendekatan itu bukan asing bagi pentadbiran negeri yang sebelum ini turut membawa beberapa isu penting untuk dibincangkan dalam dewan termasuk insiden Putra Heights.
Beliau berkata langkah itu juga membuka ruang kepada dialog yang lebih luas bagi memastikan pelaksanaan pakej berkenaan benar-benar berkesan dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.
“Ini tindakan keseluruhan kerajaan dan iktiraf peranan pembangkang dan semua terlibat termasuk penjawat awam, agensi berkaitan kerajaan (GLC) supaya dapat menanganinya bersama.
“Sidang khas dipanggil (untuk) beri ruang sampaikan pandangan dan menyemak kembali program keberkesanan pada rakyat,” katanya lagi.
Menurut Amirudin, cabaran ekonomi semasa tidak seharusnya dilihat sebagai isu politik, sebaliknya isu yang memerlukan kerjasama semua pihak berkepentingan termasuk agensi negeri, pihak berkuasa tempatan dan Ahli Dewan Negeri.
Beliau berkata Selangor turut mengamalkan pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government approach) yang melibatkan pentadbiran negeri, PBT, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan pakej rangsangan yang diperkenalkan mampu memperkukuh daya tahan negeri.
“Kita mengiktiraf peranan pembangkang, Ahli Dewan Negeri, pejabat kerajaan dan semua pihak yang terlibat supaya kita dapat menanganinya bersama-sama,” katanya.







