SHAH ALAM, 23 JUN: Jualan murah dan intervensi harga tidak boleh dilaksanakan terlalu kerap atau dalam skala besar kerana boleh menjejaskan perniagaan kedai runcit dan peniaga kecil, kata EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato' Ir Izham Hashim.
Beliau berkata Kerajaan Negeri perlu mengimbangi usaha membantu rakyat menghadapi kos sara hidup yang meningkat dengan menjaga kelangsungan perniagaan tempatan.
“Jika intervensi dilakukan secara terlalu meluas, ia boleh mengganggu sistem peruncitan. Mereka akan bersuara bahawa jualan mereka terkesan.
“Perkara ini telah diambil kira sejak awal lagi,” katanya ketika menggulung perbahasan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Menurut Izham, Kerajaan Negeri memahami keperluan rakyat untuk mendapatkan barangan pada harga berpatutan, namun program intervensi tidak boleh dilaksanakan secara berterusan.
“Jika terlalu lama dilaksanakan, ia boleh menjejaskan sistem bekalan dan perniagaan sedia ada. Jika peniaga terpaksa menutup operasi, mereka pula akan memerlukan bantuan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri memperluaskan bantuan berasaskan baucar seperti Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) bagi membantu isi rumah, sambil memastikan perbelanjaan rakyat terus memberi manfaat kepada perniagaan tempatan.
Selain itu, lebih banyak kedai serbaneka dan minimarket turut disenaraikan sebagai premis penebusan baucar.
Pada 16 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan tambahan peruntukan RM5 juta bagi pelaksanaan Jualan Ehsan Rahmah (JER), menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan program itu RM10 juta tahun ini.
Izham berkata Kerajaan Negeri akan terus memantau kesan JER dan program intervensi harga yang lain bagi memastikan ia tidak memberi impak negatif kepada peniaga.
“Jika didapati program ini menjejaskan perniagaan lain secara ketara, kita akan mengurangkan skala pelaksanaannya, memindahkannya ke lokasi yang lebih sesuai atau menghentikannya jika perlu.
“Namun buat masa ini, program tersebut masih diperlukan dan telah memberi manfaat kepada ramai rakyat,” katanya.







