1,400 jualan murah setahun, Selangor bantu rakyat jimat

22 Apr 2026, 6:00 AM
1,400 jualan murah setahun, Selangor bantu rakyat jimat
1,400 jualan murah setahun, Selangor bantu rakyat jimat
1,400 jualan murah setahun, Selangor bantu rakyat jimat

SHAH ALAM, 22 APRIL: Kerajaan Negeri menganjurkan kira-kira 1,400 program Jualan Ehsan Rahmah (JER) setiap tahun sejak pandemik Covid-19 bagi membantu rakyat terus mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.

EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata, pelaksanaan program itu dibuat secara berkala di seluruh negeri dengan mengambil kira keperluan pengguna tanpa menjejaskan kelangsungan peniaga tempatan.

“Setiap bulan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sekurang-kurangnya dua program di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri menjadikan keseluruhan 112 program bulanan.

“Jumlah itu meningkat sehingga mencecah sekitar 1,400 program setahun dengan mengambil kira penganjuran jualan mega terutama pada musim perayaan,” katanya dalam program bual bicara bersama Selangor FM.

Menjawab rungutan kebanyakan penduduk berhubung kekurangan penganjuran program, Izham menjelaskan, walaupun JER mendapat sambutan menggalakkan, pihaknya tidak boleh melaksanakannya secara berlebihan kerana boleh memberi kesan kepada peniaga dan peruncit lain.

“Negeri perlu berlaku adil kepada semua pihak. Jika terlalu kerap, kita boleh menerima aduan daripada peniaga lain dan ia boleh menimbulkan kebimbangan dalam ekosistem perniagaan.

“Kekerapan program boleh ditingkatkan di kawasan berkepadatan tinggi serta melibatkan golongan berpendapatan rendah (B40) yang lebih memerlukan,” jelasnya.

Izham memberitahu perbincangan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kini turut memberi fokus kepada usaha memperluas capaian program berkenaan.

“Antara pendekatan yang sedang diteliti ialah penggunaan lebih banyak lori bergerak bagi membolehkan program jualan murah menembusi kawasan perumahan serta lokasi pendalaman yang jauh dari pasar raya,” ujarnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.