AMPANG JAYA, 23 MEI: Sebanyak 1,200 ekor ayam habis dijual pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Mega Aidiladha yang berlangsung di pekarangan Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan, hari ini.
Pengurus Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah, Nariza Zain berkata jumlah itu hampir dua kali ganda berbanding jualan JER biasa yang merekodkan penjualan sekitar 600 hingga 700 ekor ayam.
Menurutnya, sambutan penduduk amat menggalakkan apabila pengunjung mula beratur seawal jam 7 pagi walaupun program hanya bermula pada jam 9 pagi.
“Sebanyak 500 nombor giliran disediakan dan setiap individu dihadkan kepada pembelian tiga ekor ayam bagi memastikan lebih ramai penduduk mendapat manfaat.
“Selain ayam, sebanyak 600 pek beras dan 300 papan telur turut habis dijual,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Nariza berkata program JER di DUN Pandan Indah dianjurkan dua kali setiap bulan berdasarkan permintaan dan sambutan penduduk setempat.
“Bulan ini sahaja, tiga siri jualan diadakan termasuk JER Mega sempena persediaan menyambut Hari Raya Aidiladha,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pelbagai pengisian lain disediakan sepanjang program, antaranya kaunter pendaftaran Khairat Darul Ehsan dan saringan kesihatan percuma untuk penduduk.
“Selain barangan keperluan asas, jualan sayur-sayuran serta buah-buahan dari Selangor Fruit Valley turut mendapat sambutan pengunjung.
“Pusat Khidmat DUN Pandan Indah juga membuka kaunter hebahan inisiatif Kerajaan Negeri seperti Iltizam Selangor Penyayang (ISP), selain menggalakkan orang ramai memuat turun aplikasi SELangkah bagi pendaftaran baucar Kita Selangor yang dibuka mulai 15 Jun depan,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata sebanyak 1,500 ekor ayam dijual pada harga promosi RM10 seekor disediakan di setiap lapan lokasi penganjuran Program Jualan Rahmah Madani–Jualan Mega Aidiladha 2026 yang berlangsung pada 23 dan 24 Mei ini.
Beliau berkata program kerjasama PKPS dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor itu turut menawarkan pelbagai barangan asas lain termasuk telur, daging, ikan dan beras bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.











