SHAH ALAM, 23 JUN: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) melaksanakan Program Mini Potong Royong X MPKL iaitu Program Pemandulan Anjing dan Kucing Bersubsidi Kuala Langat sebagai pendekatan mengurus populasi haiwan peliharaan secara lebih sistematik di kawasan pentadbirannya.
Inisiatif itu memberi tumpuan kepada peningkatan kefahaman pemilik haiwan mengenai kawalan pembiakan selain membantu mengurangkan risiko penyakit berkaitan sistem reproduktif serta membendung pertambahan haiwan terbiar.
MPKL memaklumkan program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SPCA) Selangor bagi memperkukuh aspek kesihatan dan kebajikan haiwan.
“Program dengan kerjasama SPCA Selangor ini memfokuskan aspek kesihatan dan kebajikan haiwan termasuk mengurangkan risiko penyakit berkaitan sistem reproduktif serta membendung peningkatan haiwan terbiar.
“Pelaksanaan program itu turut disertakan dengan peruntukan subsidi berjumlah lebih RM7,000 bagi membantu meringankan kos rawatan pemandulan haiwan kepada pemilik terlibat,” katanya menerusi Facebook.
Program yang berlangsung tiga hari dari 22 hingga 24 Jun itu dijalankan melalui sistem temujanji dalam talian dengan kapasiti sehingga 40 ekor haiwan sehari manakala sesi bagi anjing dijadualkan pada 24 Jun dengan had penyertaan 20 ekor.
MPKL berharap pendekatan berkenaan dapat membantu meningkatkan kesedaran pemilik haiwan terhadap pengurusan pembiakan secara lebih bertanggungjawab, selain menyumbang kepada pengurangan isu haiwan terbiar di kawasan perumahan.
Menurut MPKL, kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat dilihat penting dalam memastikan pengurusan kebajikan haiwan dapat dilaksanakan secara lebih teratur serta menyokong persekitaran yang lebih terkawal.











