Selangor teliti peluang kerja warga emas, persediaan ke arah negeri menua

23 Jun 2026, 3:02 AM
Selangor teliti peluang kerja warga emas, persediaan ke arah negeri menua

SHAH ALAM, 23 JUN: Kerajaan Selangor sedang mengkaji mekanisme bersesuaian untuk membolehkan warga emas terus aktif bekerja selaras dengan persediaan negeri ke arah masyarakat menua.

Menurut EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari, langkah itu perlu mengambil kira aspek kebajikan golongan berkenaan di samping memastikan peluang pekerjaan dan kenaikan pangkat pekerja muda tidak terjejas.

“Yang Berhormat Pandamaran (Leong Tuck Chee) juga menzahirkan kerisauan berkenaan status negeri Selangor menuju negeri tua dan mencadangkan untuk membenarkan warga emas bekerja. Hal ini amat penting, bahkan telah digariskan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“Kita sedang mengkaji mekanisme kawalan agar kebajikan warga emas yang bekerja terpelihara. Berkenaan Skim Mesra Usia Emas pula, insya-Allah permohonan akan dibuka dalam suku ketiga tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 pada persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anfaal memaklumkan Kerajaan Negeri turut meneliti terhadap cadangan untuk mewujudkan platform padanan penjagaan kanak-kanak atau childcare matching platform.

“Saya juga menyambut baik dan akan mengkaji cadangan Yang Berhormat Permatang (Nurul Syazwani Noh) untuk kerajaan menyampaikan bantuan melalui ‘single window’, untuk memudahkan akses bagi rakyat yang memerlukan. Langkah-langkah untuk merealisasikan perkara ini sudahpun dimulakan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berharap Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor 2.0 dapat berfungsi sebagai penampan kepada impak krisis ekonomi serta membantu negeri itu muncul lebih kukuh dan berdaya tahan.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.