SHAH ALAM, 1 OKT: Kerajaan Selangor sedang meneliti potensi untuk mengubah suai bangunan terbengkalai menjadi pusat penjagaan dan aktiviti warga emas sebagai persediaan menghadapi negeri menua.
EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata pentadbiran negeri menekankan usaha menambah baik garis panduan pusat penjagaan dan pengurusan bangunan lama agar lebih relevan serta responsif terhadap keperluan semasa.
Jelas beliau, cadangan itu perlu dilaksanakan seiring dengan Pelan Rancangan Pembangunan Komprehensif Lembah Klang Raya Selangor (SGKV).
“Penambahbaikan tersebut bukan sekadar melibatkan aspek fizikal bangunan, sebaliknya perlu dirangka secara menyeluruh dengan mengambil kira perubahan demografi serta aspirasi masyarakat hari ini.
“Saya tidak menolak kemungkinan pindaan dasar di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membolehkan premis sedemikian digunakan semula.
“Jika mematuhi syarat keselamatan dan fungsi yang ditetapkan, bangunan terbengkalai boleh dihidupkan semula sebagai pusat jagaan warga emas atau pusat aktiviti komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jelajah Ceria Selangor peringkat daerah Sabak Bernam di Dewan Bagan Terap, Sungai Besar, semalam.
Anfaal turut menegaskan bahawa pembangunan sektor penjagaan tidak boleh digalas kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan model kerjasama strategik bersama pihak swasta.
“Fasiliti sosial seperti pusat jagaan tidak boleh dioperasikan sebagai entiti kerajaan sahaja. Ia perlu digerakkan menerusi kerjasama sosial-komersial yang memberi manfaat bersama.
“Kita perlu wujudkan garis panduan lebih fleksibel tetapi kekal selamat, bagi membolehkan satu ruang menggabungkan penggunaan komersial dan sosial secara serentak,” ujarnya.
Sebelum ini, penduduk sekitar mencadangkan supaya pusat membeli-belah SS2 di Petaling Jaya yang terbengkalai sejak sedekad diberi nafas baharu, termasuk sebagai pusat aktiviti warga emas.