SHAH ALAM, 4 OKT: Kerajaan Selangor komited memperkukuh ekosistem sokongan sosial bagi golongan warga emas khususnya mereka yang tinggal bersendirian dan berisiko tinggi,.
EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata usaha itu selari dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor yang menekankan konsep perkongsian tanggungjawab antara kerajaan, keluarga dan masyarakat dalam menjaga kesejahteraan warga emas.
“Tragedi boleh dielakkan dengan mekanisme mudah seperti panggilan harian atau lawatan berkala, yang kelihatan kecil namun, memberi impak besar dalam mencegah kesunyian dan kehilangan tanpa disedari.
“Kita juga sedang meneliti keperluan golongan warga emas bagi memastikan bantuan yang memberi impak seperti Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang disediakan, selain turut meneroka sistem pemantauan pintar untuk mengesan jatuh atau kecemasan kesihatan secara automatik,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Teman Malaysia, Nurul Ezzati Mohamed Nasir berkata sokongan daripada komuniti setempat juga memainkan peranan penting dalam menjayakan usaha terbabit.
Katanya, kerjasama antara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan pantas dan berkesan kepada mereka yang memerlukan.
“Individu berusia 45 tahun ke atas yang menghidap penyakit kronik juga berisiko bukan hanya warga emas. Isu ini melibatkan tanggungjawab bersama masyarakat untuk lebih peka dan tidak bergantung sepenuhnya kepada komunikasi digital,” jelasnya.
Sebelum ini, Penasihat Khas Persatuan Sains Sosial Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Rahman Embong memaklumkan Malaysia berada di tangga ketiga tertinggi di ASEAN dengan 44.7% individu bujang pada 2021. Beliau turut menekankan keperluan perhatian serius terhadap isu penuaan penduduk dan peningkatan golongan yang hidup bersendirian.
Antara kes kematian sendirian dilaporkan berlaku di Malaysia adalah pada 22 September lalu, seorang warga emas berusia 77 tahun ditemukan meninggal dunia berhampiran Batu Niah, Miri selepas dilaporkan hilang hampir seminggu akibat memandu sendirian tanpa pengetahuan keluarga.
Selain itu, seorang lelaki berusia 72 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terlentang dan hampir reput di rumahnya yang berkunci di Tingkat 18, Flat 100, Sungai Pinang di Pulau Pinang pada 7 Julai lepas.
Terdapat juga kes melibatkan seorang wanita warga emas berusia 76 tahun ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah teres dua tingkat di Pandan Indah, Kuala Lumpur susulan aduan orang ramai berhubung bau busuk dari rumah tersebut pada 14 Jun.