SHAH ALAM, 8 APRIL: Peranan komuniti menjadi elemen penting dalam memastikan kebajikan warga emas terus terpelihara, selari usaha Kerajaan Selangor memperkukuh sistem sokongan yang menyeluruh dan mampan.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata penjagaan warga emas tidak boleh digalas secara individu semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif komuniti bagi membina jaringan sokongan yang lebih kukuh.
Menurutnya, antara inisiatif dilaksanakan ialah penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) bagi memastikan golongan berkenaan kekal aktif serta mempunyai jaringan sosial selepas persaraan.

“PAWE berperanan sebagai platform untuk warga emas berinteraksi, menjalankan aktiviti sihat dan mengelakkan pengasingan sosial yang boleh menjejaskan kesejahteraan fizikal dan emosi mereka.
“Dalam masa sama, Kerajaan Negeri kini dalam perancangan untuk membangunkan Risk Spike Care Wellness Hub sebagai pusat sokongan holistik kepada warga emas yang merangkumi aspek kesihatan fizikal, psikospiritual dan sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual ekslusif dengan Media Selangor di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) baru-baru ini.
Anfaal berkata, hab tersebut dijangka memberi nilai tambah dalam membantu warga emas kekal sihat, aktif dan sejahtera dalam komuniti.
“Selain itu, inisiatif ini juga dapat memberi kelegaan kepada penjaga apabila mereka perlu menguruskan hal peribadi, dengan memastikan warga emas berada dalam keadaan selamat dan terjaga,” ujarnya.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama komuniti termasuk menerusi Inisiatif Rakan Penjaga Selangor bagi menyokong penjagaan warga emas serta golongan memerlukan.
Menurutnya, pendekatan berasaskan komuniti itu bukan sahaja mewujudkan persekitaran lebih prihatin dan inklusif, malah memastikan kebajikan warga emas terus terjamin dari segi fizikal, emosi dan sosial.
Pada 24 November 2024, Selangor menjadi negeri pertama melancarkan Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor sebagai persediaan menghadapi situasi negeri menua apabila 8.1 peratus daripada penduduknya berumur 65 tahun ke atas.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dasar hingga 2030 itu merangkumi aspek penjagaan warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya serta pengukuhan sokongan kepada komuniti penjaga formal dan tidak formal.









