SHAH ALAM, 22 JUN: Beberapa kawasan di Selangor dan beberapa negeri lain dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat serta angin kencang sehingga jam 7 malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, amaran cuaca buruk itu melibatkan Sabak Bernam dan Hulu Selangor.
Turut terlibat beberapa daerah di Perak iaitu Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak serta Batang Padang.
Di Pantai Timur, amaran dikeluarkan bagi Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman di Terengganu, selain Tanah Tinggi Cameron, Lipis serta Raub di Pahang.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran sama bagi Kuala Pilah dan Jempol di Negeri Sembilan.
Di Sarawak, kawasan yang dijangka terjejas ialah Kuching, Samarahan, Betong, Sarikei (Julau), Sibu, Mukah (Dalat dan Mukah), Kapit (Song, Kapit dan Bukit Mabong), Bintulu (Tatau dan Sebauh) serta Miri (Beluru, Marudi dan Limbang).
Sementara itu, di Sabah, amaran melibatkan kawasan pedalaman meliputi Kuala Penyu, Beaufort dan Nabawan, Pantai Barat membabitkan Papar, Putatan, Penampang serta Kota Kinabalu, selain daerah Tongod, Kinabatangan dan Sandakan di Bahagian Sandakan.
Labuan turut diramal mengalami ribut petir dan hujan lebat dalam tempoh berkenaan.
"Amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi satu jam.
"Amaran berkenaan merupakan amaran cuaca jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai di kawasan terlibat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan cuaca semasa menerusi laman sesawang rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca atau saluran media sosial agensi berkenaan.






