SHAH ALAM, 22 JUN: Bantuan sarapan percuma kepada kira-kira 120,000 pelajar sekolah bermula Ogos depan merupakan pelaburan strategik negeri dalam pembangunan modal insan.
Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunaraj berkata program melibatkan 965 sekolah itu juga mampu menjamin kesejahteraan keluarga terutama dalam kalangan berpendapatan rendah selain memastikan masa depan anak-anak Selangor lebih baik.
“Inisiatif ini penting kerana dapat membantu pelajar yang tak sempat atau tidak mampu bersarapan mengambil makanan, selain mengurangkan beban kos sara hidup keluarga.
“Ini juga dapat meningkatkan tumpuan pembelajaran dalam kelas serta mengurangkan masalah ponteng dan lewat hadir ke sekolah,” katanya membahaskan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Gunaraj berkata pengalaman India yang melaksanakan inisiatif terbabit pada 2022 membuktikan sarapan percuma mampu menggalakkan kehadiran, mengurangkan keciciran sekali gus meningkatkan prestasi pelajar.
“Negara maju seperti Finland, United Kingdom dan Amerika Syarikat juga telah lama laksana program seperti ini kerana memahami pelaksanaannya adalah pelaburan dalam pendidikan,” katanya.
Minggu lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan program terbabit akan memanfaatkan kira-kira 120,000 pelajar dan penerima layak sudah dikenal pasti melalui data Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bagi memastikan bantuan disalurkan kepada kumpulan sasaran.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, kaedah pelaksanaan program sarapan percuma itu hampir sama seperti rancangan makanan tambahan (RMT) dengan pemberian dijangka antara dua hingga tiga kali seminggu.
Bantuan itu merangkumi pelajar sekolah rendah dan menengah, sekolah agama bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta institusi pendidikan yang berdaftar dengan JPN Selangor.







