Selepas bertahun-tahun dilingkari dengan aroma herba, jiwa seorang pemuda Cina mula meronta untuk melangkah lebih jauh demi masa hadapan lebih baik sekalipun tiada bayangan jelas di hadapannya.
Tugas sebagai tabib perubatan tradisional sudah sebati dalam jiwa Ong Xi John, 30, namun beliau percaya dalam dunia teknologi yang kian berkembang ketika itu siapa tidak berani, tidak akan menang.
Walapun terpaksa bermula dari bawah, Xi John tekad menyertai program latihan di Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC). Langkah berani itu membawanya ke dimensi kerjaya baharu yang menjanjikan masa depan lebih baik. Beliau kini bergelar jurutera solar.
“Pada awalnya, ini bukan keputusan mudah kerana saya perlu bermula semula dalam bidang yang langsung berbeza, namun saya lihat sektor solar mempunyai potensi yang besar,” katanya kepada Media Selangor.
Sepanjang mengikuti program berkenaan, Xi John bukan sahaja mempelajari aspek teknikal seperti pemasangan dan penyelenggaraan sistem solar, malah diasah dengan kemahiran pemikiran kritis termasuk kerja berpasukan dan komunikasi dalam mengendalikan projek berskala besar.
Tuah nyata menyebelahinya. Selepas menamatkan latihan, beliau berjaya menempatkan diri dalam industri tenaga dan kini terlibat dalam pelbagai projek bernilai tinggi serta berurusan dengan pelanggan korporat utama.
“Sekarang saya terlibat dalam projek bernilai ratusan ribu ringgit dan berurusan dengan pelanggan penting, sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan sebelum ini,” kata Xi John.
Program latihan yang disertainya bukan sahaja membuka pintu kerjaya baharu, malah dengan keberanian serta sokongan yang tepat, mampu mendorong seseorang membina semula masa depan dalam landskap industri berbeza.
Malaysia masih kekurangan tenaga mahir solar khususnya jurutera kompeten elektrik (JKE) 132kv. Keperluan itu disebabkan setiap lesen penjanaan tenaga solar yang tersambung ke talian 132kV diwajibkan melantik seorang JKE sebagai jurutera residen.
Kelompongan itu menyebabkan ada tenaga mahir menuntut gaji sehingga RM20,000, sedangkan kerja mereka hanyalah untuk membuat penyelarasan sebanyak dua kali setahun.
Program kemahiran yang ditawarkan SHRDC membuka peluang kepada lebih ramai untuk menjadi pakar dalam sektor ini dan menyokong peralihan tenaga negara.
Peluang kerjaya
Pemasang solar PV
Juruteknik solar
Pengurus tenaga
Penyelia tapak solar
Pegawai operasi loji solar
Juruanalisis prestasi sistem
Pengajian & kursus
Universiti Teknologi Malaysia
Program kejuruteraan elektrik / tenaga
Ada mata pelajaran tenaga boleh diperbaharui dan solar PV
Universiti Malaya
Program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Tawar kursus mengenai perisian solar merangkumi topik penting daripada peringkat asas hingga pertengahan
Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC)
Tawar kursus mengenai solar dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA Malaysia)
*Sumber: Portal UTM, UM, Uitm, SHRDC & SEDA Malaysia








