Jarum akupunktur, ramuan herba dan terapi tradisional suatu ketika dahulu dianggap pilihan sampingan yang hanya mendapat tempat dalam kalangan ma-syarakat Cina.
Namun, tanggapan itu kian berubah apabila ramai rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang memilih perubatan tersebut sebagai pelengkap kepada rawatan moden.
Bukan sekadar ikhtiar alternatif, kaedah itu digunakan untuk mengurus pelbagai masalah kesihatan termasuk sakit kronik, proses pemulihan selepas rawatan serta mengurangkan kesan sampingan kemoterapi.
Malah, ada pasangan mendapatkan rawatan tersebut sebagai persediaan dalaman sebelum menjalani tatacara persenyawaan in-vitro (IVF).
Penerimaan meluas itu pula disokong pengiktirafan rasmi kerajaan menerusi Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775), yang mengawal selia amalan perubatan berkenaan.
Beberapa hospital kerajaan juga menawarkan perkhidmatan Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari, antaranya Institut Kanser Negara yang menyediakan terapi herba bagi membantu pesakit mengurus gejala tertentu sepanjang menjalani rawatan barah.
Menurut pengamal perubatan Cina, Ahmad Mujahid Mazlan, kaedah itu bukan sekadar rawatan akupunktur, sebaliknya merangkumi rawatan herba, urutan tuina, bekam angin dan moksibusi.

Konsep perubatan Cina yang berasaskan pemahaman falsafah sebagai asas diagnosis dimulakan dengan sesi konsultasi termasuk pemeriksaan fizikal, bacaan nadi dan pemerhatian pada lidah sebelum mengenal pasti masalah kesihatan pesakit.
Anak jati Kemaman, Terengganu itu menjelaskan konsep perubatan Cina meneliti tubuh manusia secara menyeluruh menerusi keseimbangan yin, yang dan qi, selain pemeriksaan fizikal sebelum rawatan.
Namun, setiap rawatan termasuk herba perlu diberi berdasarkan keadaan individu dan sejarah kesihatan pesakit. Bukan semua herba sesuai untuk semua individu.
"Tiada herba yang kita kata selamat untuk semua orang. Sebab setiap herba itu ada kegunaannya. Semua orang mungkin tidak boleh makan herba yang sama.
"Jadi untuk kurangkan kesan sampingan kemoterapi, perubatan Cina boleh membantu. Jadi kaedah itu adalah good complement (kombinasi sempurna) bila kita gandingkan perubatan moden dengan Cina pada masa sama," katanya kepada Media Selangor.
Selain mengimbangi rawatan moden untuk pesakit barah, perubatan Cina juga digunakan bagi persediaan dalaman wanita sebelum menjalani rawatan IVF melalui rawatan akupunktur dan herba supaya badan lebih bersedia untuk mene-rima telur.
Sakit hilang dalam lima minit
Ahmad Mujahid mendapati masyarakat Melayu semakin terbuka mendapatkan rawatan Cina terutama masalah sakit kronik, gastrik, penyakit refluks gastroesofagus (GERD) dan sakit saraf seperti sciatica.
Pengalaman paling membanggakannya apabila merawat pesakit sciatica yang mengalami kesakitan bertahun-tahun sebelum kesakitannya berkurangan dalam masa lima minit selepas rawatan akupunktur.
“Saya buat akupunktur dekat dia (pesakit). Bukan buat dekat tempat yang sakit, saya buat dekat tangan. Dalam masa lima minit, sakit itu hilang dan ia bertahan sampai tiga empat hari,” katanya, menambah akupunktur untuk penghasilan kolagen di muka juga semakin mendapat permintaan dalam kalangan wanita.
Bagaimanapun, lelaki lulusan ijazah sarjana muda dalam perubatan Cina itu mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan rawatan daripada pengamal bertauliah dan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan bagi mengelak komplikasi atau kaedah penggunaan tidak sesuai atau tidak bersih.
Walaupun masih berdepan tanggapan negatif masyarakat, perubatan tradisional Cina kian meluas dan merentasi kaum lain. Perkembangan itu sekali gus menunjukkan perubatan Cina bukan sekadar rawatan alternatif sebaliknya pelengkap dalam sistem kesihatan moden.





