Memperkasa wanita bekerja kunci kukuhkan keluarga, ekonomi

30 Jul 2026, 4:05 AM
Memperkasa wanita bekerja kunci kukuhkan keluarga, ekonomi
Memperkasa wanita bekerja kunci kukuhkan keluarga, ekonomi
Memperkasa wanita bekerja kunci kukuhkan keluarga, ekonomi
Memperkasa wanita bekerja kunci kukuhkan keluarga, ekonomi

Wanita merupakan nadi kepada sesebuah keluarga. Dalam sehari, mereka memikul pelbagai tanggungjawab sebagai ibu, isteri, anak dan pada masa sama turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi.

Bagi ramai wanita hari ini, bekerja bukan lagi sekadar pilihan. Ia menjadi keperluan untuk membantu keluarga menghadapi peningkatan kos sara hidup dan menyediakan masa depan yang lebih sempurna kepada anak-anak.

Namun, di sebalik pelbagai peranan itu, wanita sering berdepan satu dilema sukar. Bagaimana melunaskan dedikasi terbaik di medan kerjaya tanpa mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu?

Firman Allah SWT dalam Surah al-Rum, ayat 21:

"Dan di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ialah Dia menciptakan untukmu pasangan-pasangan daripada jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan Dia menjadikan antara kamu rasa kasih sayang dan belas kasihan."

Ayat ini mengingatkan bahawa keluarga dibina atas asas ketenangan, kasih sayang dan saling melengkapi. Justeru, memperkasa wanita bukan sekadar memperkukuh kedudukan mereka dalam masyarakat, tetapi turut memperkukuh institusi keluarga.

Realitinya, cabaran terbesar ibu bekerja bukanlah semata-mata beban tugas di pejabat. Sebaliknya, mereka perlu mengimbangi tuntutan kerjaya dengan tanggungjawab mengurus rumah tangga serta membesarkan anak-anak.

Kos penjagaan anak yang semakin meningkat pula menambah tekanan kepada ramai keluarga. Ada wanita yang akhirnya memilih untuk berhenti kerja kerana sebahagian besar pendapatan digunakan bagi menampung yuran taska atau pusat jagaan.

Keputusan itu bukanlah sesuatu yang mudah. Selain menjejaskan pendapatan isi rumah, ia turut menyebabkan negara kehilangan bakat, pengalaman dan potensi wanita yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi.

Atas sebab itulah, sokongan kepada wanita bekerja perlu dilihat sebagai pelaburan sosial, bukannya sekadar bantuan kebajikan.

Antara langkah yang boleh membantu ialah penyediaan insentif bagi mengurangkan kos penjagaan anak.

Di Selangor, misalnya, Program MamaKerja diperkenalkan bagi membantu ibu bekerja yang mempunyai anak berusia enam tahun ke bawah. Sambutan yang diterima sehingga ribuan permohonan serta penambahan peruntukan kepada RM10 juta menunjukkan bahawa keperluan terhadap sokongan seperti ini sememangnya wujud.

Walaupun bantuan kewangan bukan penyelesaian kepada semua cabaran, ia memberi ruang kepada lebih ramai wanita untuk terus kekal dalam pasaran pekerjaan tanpa terlalu dibebani kos penjagaan anak. Pada akhirnya, manfaat itu bukan sahaja dirasai oleh wanita, malah oleh keluarga dan masyarakat.

Kendatipun begitu, usaha memperkasa wanita tidak boleh bergantung kepada dasar kerajaan semata-mata. Majikan mempunyai peranan menyediakan persekitaran kerja yang lebih fleksibel dan mesra keluarga. Ahli keluarga pula perlu berkongsi tanggungjawab agar wanita tidak memikul beban secara bersendirian.

Apabila wanita diberikan sokongan yang sewajarnya, mereka mampu memberikan yang terbaik dalam kerjaya tanpa mengorbankan peranan sebagai ibu. Keseimbangan inilah yang akhirnya melahirkan keluarga yang lebih stabil dan anak-anak yang membesar dalam suasana penuh kasih sayang.

Rasulullah SAW bersabda:

"Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku." (Riwayat al-Tirmizi)

Hadis ini mengingatkan bahawa membina keluarga yang bahagia ialah tanggungjawab bersama. Wanita tidak seharusnya dibiarkan menggalas segala cabaran seorang diri, sebaliknya perlu disokong oleh keluarga, majikan, masyarakat dan pembuat dasar.

Pada akhirnya, memperkasa wanita bukan sekadar meningkatkan penyertaan mereka dalam tenaga kerja atau memperkukuh ekonomi keluarga. Lebih besar daripada itu, ia merupakan pelaburan untuk melahirkan generasi yang lebih berkualiti dan membina masyarakat yang lebih sejahtera.

Kerana apabila wanita diperkasakan, keluarga menjadi lebih kukuh. Dan daripada keluarga kukuh, lahirlah sebuah negara yang lebih maju, berdaya tahan dan penuh ihsan.

* Norashikin Azmi adalah Pegawai Tadbir Universiti Islam Selangor (UIS)

Kategoripendapat

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.