KUALA LANGAT, 28 FEB: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menghadiri Program Singgah Sahur dan Solat Subuh bersama penduduk Tanjong Sepat di Masjid Inayatur Rahman, Kampung Batu Laut, awal pagi tadi.
Beliau yang tiba seawal jam 5 pagi diiringi Ahli Dewan Negeri Tanjong Sepat Datuk Borhan Aman Shah, turut menikmati juadah kampung sebelum menunaikan solat subuh berjemaah dan mengikuti kuliah bertajuk Puasa, Taqwa dan Pembentukan Negeri Baldatun Toyyibatun Wa Robbun Ghofur disampaikan Pengetua SMK Jugra Mohd Naudi Haqqi.

Sejurus itu, Amirudin menyampaikan sumbangan Ihya Ramadan berjumlah RM28,500 kepada 45 masjid dan surau dalam DUN Tanjong Sepat. Sepuluh masjid dan dua surau Jumaat menerima RM1,000 masing-masing, manakala 35 surau menerima RM500 setiap satu.
Sumbangan melibatkan institusi di 11 kampung termasuk Hulu Teris, Bukit Bangkong, Tumbuk Darat dan Sungai Kelambu bagi menyokong program keagamaan serta kebajikan sepanjang Ramadan.

Beliau berkata pentadbiran negeri mahu masjid dan surau berperanan sebagai pusat pembangunan serta penyatuan masyarakat, selaras titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj agar institusi itu menjadi ruang neutral untuk semua pihak.
“Seperti yang dititahkan oleh Sultan Selangor mengingatkan supaya masjid dan surau menjadi ruang yang neutral.
“Semua pihak boleh duduk dan menjadikan institusi ini sebagai pusat penyelesaian, pertimbangan dan perubahan kepada masyarakat,” katanya dalam ucapan.










