PETALING JAYA, 21 JUN: Petaling Jaya muncul antara contoh terbaik pembangunan bandar moden di Selangor menerusi pelaksanaan agenda bandar pintar, pembangunan mampan dan sistem mobiliti yang cekap untuk manfaat penduduk.
Datuk Borhan Aman Shah berkata, status bandar raya matang yang dimiliki Petaling Jaya membolehkan kawasan itu menjadi penanda aras pembangunan bandar yang bukan sahaja menumpukan aspek fizikal, malah turut memperkukuh komuniti, ekonomi setempat dan kualiti hidup rakyat.
“Petaling Jaya merupakan antara bandar raya terawal yang mendukung agenda Smart Selangor. Pelbagai inisiatif pendigitalan telah diperkenalkan oleh MBPJ bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, memperkasakan pengurusan bandar dan memperluaskan akses rakyat kepada perkhidmatan awam.
“Agenda bandar pintar yang dilaksanakan hari ini membuktikan bahawa teknologi bukan sekadar alat untuk memodenkan bandar, tetapi instrumen penting bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Petaling Jaya ke-20 di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jalan Yong Shook Lin malam tadi.
Borhan menambah Petaling Jaya juga merupakan antara nadi utama ekonomi Selangor sekali gus menjadi peneraju dalam penggunaan teknologi dan inovasi bagi mewujudkan bandar yang lebih cekap, selamat, responsif dan mesra rakyat.
“Kehadiran pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa, institusi pendidikan tinggi, pusat penyelidikan, hab inovasi serta sektor perkhidmatan yang berkembang pesat telah menjadikan bandar raya ini sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.
“Atas sebab itu, Kerajaan Negeri dan MBPJ sentiasa memberi penekanan kepada penyediaan kemudahan awam yang berkualiti, ruang hijau yang mencukupi, kemudahan rekreasi dan sukan yang inklusif serta program pembangunan komuniti yang mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.







