1,012 penyewa Smart Sewa Selangor nikmati moratorium sewaan tiga bulan

19 Jun 2026, 4:29 AM
1,012 penyewa Smart Sewa Selangor nikmati moratorium sewaan tiga bulan

SHAH ALAM, 19 JUN: Seramai 1,012 penyewa Smart Sewa Selangor akan ditawarkan moratorium sewaan rumah selama tiga bulan bermula Oktober hingga Disember 2026 menerusi peruntukan berjumlah RM2.22 juta.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 itu akan diselaraskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) berdasarkan permohonan daripada penyewa.

Menurut beliau, langkah tersebut diambil bagi membantu mengurangkan beban kewangan penyewa, khususnya sekiranya berlaku peningkatan kos sara hidup dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

"Kadar sewa sebulan adalah antara RM450 sehingga RM1,300 sebulan. Kerajaan Negeri berusaha memastikan supaya kadar sewa ini kekal dan tidak meningkat, terutama pada ketika ini.

"Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri memahami keadaan yang kemungkinan dihadapi oleh penyewa sekiranya kos sara hidup meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang," katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 19 Jun 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Inisiatif moratorium sewaan itu merupakan sebahagian daripada 15 inisiatif baharu yang diumumkan di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 melibatkan peruntukan keseluruhan RM209.26 juta.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM145.8 juta bagi pelaksanaan Fasa 1 yang merangkumi tujuh inisiatif dan sedang dilaksanakan ketika ini.

Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor diperkenalkan sebagai tindak balas Kerajaan Negeri terhadap krisis tenaga dan bekalan global yang tercetus susulan konflik di Asia Barat.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.