SHAH ALAM, 23 APRIL: KDEB Waste Management (KDEBWM) memanggil pemegang taruh bagi membincangkan isu kenaikan kos diesel yang memberi tekanan besar terhadap operasi kutipan sisa di negeri ini.
Pengarah Urusannya, Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata perbincangan itu bertujuan mencari penyelesaian terbaik bagi menampung peningkatan kos operasi, walaupun pendapatan syarikat kekal.
“Pengurusan KDEBWM perlu duduk semeja dengan semua pemegang taruh untuk meneliti kaedah terbaik mengimbangi kos.
“Fokus utama adalah melihat kemampuan setiap pihak bagi menampung kenaikan ini secara sementara sehingga harga diesel kembali stabil,” katanya kepada Media Selangor.
Tegasnya, KDEBWM kini berdepan cabaran besar susulan peningkatan kos diesel yang dianggarkan mencecah RM4 juta sebulan melibatkan kira-kira 850 lori jenis ‘arm roll’ (RORO).
Ramli memberitahu sekiranya isu kos itu tidak ditangani segera, ia berpotensi menjejaskan kekerapan trip kutipan sisa di lapangan.
“Sebagai contoh, operasi mungkin terpaksa dikurangkan daripada tiga trip kepada dua trip sehari. Ini sudah tentu memberi kesan langsung kepada kecekapan perkhidmatan,” ujarnya.
Sebelum ini, EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata KDEBWM memerlukan kos tambahan bagi memastikan operasi kutipan sampah berjalan lancar tanpa gangguan, susulan kenaikan harga minyak global ketika ini.
Suee Lim memaklumkan beliau telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Negeri, selain memberi gambaran mengenai situasi dan kekangan yang bakal ditanggung syarikat utiliti tersebut.








