SHAH ALAM, 1 OKT: Subsidi tambang pengangkutan awam Selangor sebanyak RM30 sebulan menerusi aplikasi NINE kini diperluaskan kepada perkhidmatan KTM Komuter, selain Rapid KL On-Demand dan Kumpool.
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata peluasan itu membolehkan penerima menggunakan subsidi berkenaan untuk membeli tiket KTM Komuter, sekali gus memberi lebih banyak pilihan pengangkutan mengikut keperluan perjalanan masing-masing.
Menurutnya, kemudahan itu meliputi perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang, KTM Komuter Utara dan Shuttle Selatan.
“Penduduk Selangor yang layak boleh menikmati subsidi RM30 sebulan sehingga Disember 2026 di bawah Program Subsidi Pengangkutan Awam Selangor, sekali gus membantu meringankan kos perjalanan harian.
“Sebelum ini, lebih 90 peratus penerima subsidi memilih Rapid KL On-Demand, di mana kumpulan umur 26 hingga 35 tahun merupakan pengguna terbesar iaitu sebanyak 35 peratus.
“Dengan memasukkan KTM Komuter ke dalam skim ini, kami menyasar untuk memberi impak yang lebih besar kepada komuniti penglaju (commuter) di Selangor serta menggalakkan pemanfaatan rangkaian pengangkutan awam secara menyeluruh,” katanya menerusi kenyataan media.
Program itu menawarkan subsidi tambang RM30 sebulan selama enam bulan kepada 50,000 penerima yang layak dan dilaksanakan menerusi Pakej Daya Tahan Selangor.
Inisiatif itu bertujuan meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya pekerja dan pelajar yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk perjalanan harian, dan diteruskan sehingga Disember 2026.
Bagi menggunakan kemudahan itu, pengguna perlu memuat turun aplikasi NINE, memohon kelayakan subsidi dan memilih KTM Komuter sebagai perkhidmatan pengangkutan.
Selepas permohonan diluluskan, subsidi bulanan akan dikreditkan ke NINE eWallet sebelum digunakan untuk membeli tiket melalui aplikasi KTMB Mobile atau KITS Style dengan memilih NINE sebagai kaedah pembayaran.
Inisiatif itu diuruskan oleh Rantaian Mesra Sdn. Bhd. (RMSB), syarikat milik Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor), dengan kerjasama penyedia perkhidmatan pengangkutan dan platform pembayaran digital.
Pakej Daya Tahan Selangor dilancarkan pada 15 Jun lalu bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, termasuk kos perjalanan harian.








