SHAH ALAM, 20 JUN: Perluasan program Selangor Advance (SA500) menerusi peruntukan RM100 juta di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 disifatkan sebagai langkah penting bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus berkembang dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya berkata PKS merupakan tunjang ekonomi negeri dan negara kerana menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia serta menyediakan hampir separuh peluang pekerjaan di negara ini.
Menurut Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad, bantuan kepada PKS bukan sekadar menyokong operasi perniagaan, malah turut melindungi pekerjaan, kesejahteraan keluarga dan masa depan ekonomi negeri.
“PKS adalah enjin-enjin kecil ekonomi Selangor. Mereka mungkin kecil jika dilihat secara individu, tetapi apabila ratusan ribu perusahaan bergerak bersama, mereka menjadi kuasa yang menggerakkan ekonomi negara.
“Ini membuktikan masa depan ekonomi negara dibina oleh mereka yang bekerja keras setiap hari, sering kali tanpa mendapat perhatian sebab itu saya menyambut baik inisiatif seperti Selangor Advance atau SA500 serta pelbagai skim pembiayaan yang diperkenalkan Kerajaan Negeri.
“Ini kerana apabila kita membantu PKS, kita bukan sekadar membantu perniagaan. Kita sedang melindungi pekerjaan, keluarga dan kita sedang melindungi masa depan negeri ini,” katanya ketika membahaskan pembentangan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

Selain itu, Syed Ahmad berkata pakej berkenaan turut memainkan peranan penting dalam membantu rakyat dan sektor perniagaan menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Katanya, melalui Fasa 1, Kerajaan Negeri memperkukuh jaringan keselamatan rakyat menerusi pelbagai inisiatif termasuk Jualan Ehsan Rahmah, Baucar Kita Selangor, subsidi pengangkutan awam, Sarapan Pagi Anak Selangor dan Gudang Makanan Selangor.
“Kerajaan kemudiannya melangkah lebih jauh melalui Fasa 2 yang memberi fokus kepada industri dan perniagaan, usahawan dan belia, golongan rentan serta anak Selangor dan penjawat awam.
“Ini bukan sekadar pakej bantuan atau himpunan angka, tetapi satu falsafah pentadbiran yang meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai matlamat utama dasar kerajaan,” katanya.
Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan perluasan program SA500 dengan peruntukan RM100 juta bagi membantu aliran tunai syarikat yang berurusan dengan projek infrastruktur negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut beliau, inisiatif itu dijangka memanfaatkan kira-kira 500 syarikat serta kontraktor yang menjalankan urusan perniagaan di Selangor.








