SHAH ALAM, 19 JUN: Selangor menambah bantuan kepada golongan petani dan nelayan melibatkan 2,469 penerima menerusi Pakej Daya Tahan Selangor Fasa 2 dengan peruntukan RM6 juta.
Dato' Menteri Besar berkata bantuan meliputi baucar makanan ternakan, baja, baucar bahan api, atau wang tunai sebanyak RM300 sehingga RM600 mengikut musim penuaian atau secara bulanan.
"Atas permintaan dan keperluan tambahan, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menambah bantuan kepada golongan petani dan nelayan, iaitu seramai 2,469 penerima.
"Ia sebagai tambahan kepada Bantuan Pertanian yang Kerajaan Negeri umumkan dalam pakej Fasa 1 yang sedang berjalan," kata Dato' Seri Amirudin Shari ketika membentangkan pakej itu hari ini.
Menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 yang diumumkan April lalu, sebanyak RM25 juta diperuntuk bagi bantuan sokongan sektor pertanian, yang dijangka memanfaatkan 16,395 penerima.
Menurut Amirudin, inisiatif itu bagi mengurangkan kos operasi melalui bantuan bahan api dan input pertanian membabitkan pesawah, petani, penternak, nelayan dan pengusaha akuakultur seluruh negeri.
Jelasnya, bantuan disalur dalam bentuk tunai dan baucar bahan api, input pertanian dan makanan ternakan bagi memastikan kesinambungan pengeluaran makanan serta memperkukuh keterjaminan makanan.
Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor diperkenal sebagai tindak balas Kerajaan Negeri terhadap krisis tenaga dan bekalan global yang tercetus susulan konflik di Asia Barat.
Menerusi pakej tersebut, beberapa langkah intervensi diambil bagi membantu rakyat dan sektor perniagaan menghadapi cabaran kenaikan kos akibat gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan pasaran tenaga dunia.








