KUALA LUMPUR, 18 JUN: Yayasan TZA menerima sumbangan kira-kira RM3.5 juta daripada penaja dan rakan strategik bagi memperkukuh pelaksanaan pelbagai program pembangunan masyarakat merangkumi pendidikan, kesihatan dan jangkauan komuniti.
Majlis Apresiasi Hi-Tea Yayasan TZA yang berlangsung hari ini turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, yang berkenan menyaksikan penyampaian sumbangan berkenaan. Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.
Penasihat Yayasan TZA, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata dana yang diterima akan terus dimanfaatkan bagi memperluas program berimpak tinggi, khususnya dalam bidang pendidikan.
Menurutnya, antara inisiatif utama dilaksanakan ialah program tuisyen percuma ACE SPM yang setakat ini membantu kira-kira 460 pelajar daripada keluarga B40 di 10 sekolah di Selangor meningkatkan pencapaian akademik.

“Sebelum ini kita buat projek perintis di 10 sekolah dan selepas ini kita cadang untuk tingkatkan kepada 20 sekolah dan daripada segi pelajar pula, kita akan cuba tingkatkan dua kali ganda dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.
“Selain itu, subjek juga dicadang untuk ditambah. Sebelum ini tiga subjek sahaja, dan setelah perbincangan dengan Kementerian Pendidikan mereka minta tambah subjek bahasa Inggeris.
“Pada masa ini ada juga cadangan supaya kalau boleh kita perluaskan ke negeri lain termasuk Pulau Pinang, Perak dan sebagainya,” katanya ditemui selepas majlis itu.
Selain pendidikan, beliau berkata Yayasan TZA turut melaksanakan pelbagai inisiatif lain termasuk program keusahawanan, kelestarian serta bantuan makanan kepada golongan memerlukan.
Katanya, usaha mendekati komuniti turut diperkukuh menerusi program Larian KITA yang telah dilaksanakan di tiga daerah di Selangor dan akan diteruskan di Klang pada Oktober depan.
“Memang kita ada teras-teras lain dalam yayasan dan program lain seperti membantu golongan dalam program usahawan, kelestarian dan membantu golongan B40 untuk bantuan makanan dan sebagainya,” katanya.
Yayasan TZA yang ditubuhkan pada 2022 merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi tumpuan kepada usaha menangani cabaran sosial, ekonomi dan alam sekitar melalui program pendidikan, pembasmian kemiskinan, pemuliharaan alam sekitar serta kebajikan masyarakat.










