PUTRAJAYA, 18 JUN: Sebanyak 224,559 masyarakat Orang Asli di seluruh Semenanjung Malaysia terus menerima manfaat pelbagai inisiatif yang dilaksanakan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
JAKOA dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif itu merangkumi dari peringkat awal usia hingga warga emas yang meliputi aspek kebajikan, pendidikan, kesihatan dan pembangunan komuniti.
Jabatan itu memaklumkan komitmen itu bukan sekadar menyampaikan bantuan tetapi membawa mesej masyarakat Orang Asli sentiasa menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan negara.
“Inisiatif ini termasuk bantuan susu formula khas bagi bayi pramatang dan bagi kanak-kanak, ia merangkumi bantuan pakaian seragam bagi murid kemasukan tahun satu dan tingkatan satu.
“Turut diberikan insentif wang saku kepada pelajar sekolah menengah dan perkhidmatan pengangkutan murid,” menurut kenyataan itu.
Bantuan kategori belia pula meliputi pemberian wang sagu hati Anugerah Murid Cemerlang peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta bantuan sagu hati sekali beri (persediaan kemasukan) bagi peringkat sijil, matrikulasi, pradiploma, diploma dan Ijazah Sarjana Muda.
Bagi kategori dewasa, inisiatif diberikan ialah Suntikan Usahawan Alaf Rezeki (SUAR), iaitu bantuan mesin serta peralatan operasi perniagaan dan pendigitalan.
Inisiatif lain termasuk bantuan kepada petani, pengurusan jenazah, perubatan, kebajikan dan pelaksanaan projek jalan, air, elektrik, rumah serta pelbagai projek ameniti sosial seperti balai adat, dewan dan gelanggang futsal.
JAKOA memaklumkan selaras dengan visi dan misinya serta aspirasi Malaysia MADANI, usaha itu akan terus menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan kesejahteraan, kebajikan dan masa depan masyarakat Orang Asli terus terpelihara.







