MAIS perkukuh pemerkasaan mualaf, santuni 300 penduduk Orang Asli Pulau Carey

15 Feb 2026, 10:00 AM
MAIS perkukuh pemerkasaan mualaf, santuni 300 penduduk Orang Asli Pulau Carey

SHAH ALAM, 15 FEB: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperkukuh pemerkasaan mualaf dan komuniti Orang Asli menerusi program turun padang yang menyantuni lebih 300 penduduk di Pulau Carey, Banting, semalam.

Menurut MAIS, inisiatif itu bertujuan memperkukuh bimbingan berterusan kepada mualaf di peringkat akar umbi selain menyediakan perkhidmatan berkaitan hal ehwal Islam kepada masyarakat Orang Asli.

“Hasil usaha dakwah berterusan MAIS, agensi agama dan Pembangunan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), empat penduduk Kampung Sungai Kurau telah memeluk Islam termasuk seorang lelaki, dua perempuan serta seorang kanak-kanak perempuan.

“Upacara syahadah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Operasi MAIS, Norlaili Mohamad dan Pegawai Tadbir Agama Kuala Langat, Hairul Anuar Samingan,” menurut kenyataan itu.

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperkukuh pemerkasaan mualaf dan komuniti Orang Asli dengan menyantuni lebih 300 penduduk di Pulau Carey, Banting pada 14 Februari 2026. Foto Facebook MAIS

Program tersebut turut menampilkan pelbagai aktiviti menyokong pembangunan komuniti dan mualaf, termasuk pengemaskinian kad perakuan memeluk Islam, kad pengenalan masyarakat Orang Asli serta kuiz fardu ain dan pengetahuan am.

Ia dianjurkan dengan kerjasama Unit Dakwah Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Langat, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta beberapa rakan strategik lain.

MAIS berharap program berterusan seperti ini dapat memperkukuh pemahaman agama, membimbing mualaf secara sistematik dan menyokong pembangunan komuniti Orang Asli di peringkat akar umbi.

Apa reaksi anda?