Kesihatan mental remaja Malaysia membimbangkan, lebih suku alami kemurungan

18 Jun 2026, 1:00 PM
Kesihatan mental remaja Malaysia membimbangkan, lebih suku alami kemurungan

SHAH ALAM, 18 JUN: Lebih satu perempat remaja di Malaysia mengalami simptom kemurungan, sekali gus menjadikan isu kesihatan mental golongan itu semakin membimbangkan.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), sebanyak 26.9 peratus remaja berusia 13 hingga 17 tahun mengalami simptom kemurungan.

Katanya, 13.1 peratus remaja pula pernah mempunyai fikiran untuk membunuh diri, manakala 9.5 peratus pernah cuba berbuat demikian.

"Angka ini mengingatkan kita bahawa cabaran kesihatan mental remaja bukan lagi isu terpencil dan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak," katanya dalam ucapan perasmian Karnival Program Rintis Kesedaran Kesihatan Mental Remaja (PeerZ).

Tekanan emosi yang dihadapi golongan muda semakin kompleks, didorong faktor keluarga, pengaruh sosial dan cabaran dunia digital.

Menurut Jamaliah, isu buli dan buli siber terus menjadi ancaman serius yang memberi kesan terhadap kesihatan mental serta kesejahteraan emosi pelajar.

"Tekanan yang berterusan boleh menjejaskan keyakinan diri, prestasi akademik dan hubungan sosial remaja sekiranya tidak ditangani lebih awal," katanya.

Menurut Jamaliah, ramai remaja sebenarnya memerlukan bantuan namun masih berdepan halangan untuk mendapatkan sokongan sewajarnya.

Dalam kenyataan sama, UNICEF Malaysia turut menegaskan masih ramai kanak-kanak dan remaja yang memerlukan bantuan kesihatan mental tetapi tidak mendapatkannya.

"Keadaan itu berpunca daripada stigma masyarakat, kurang kesedaran serta kekangan akses kepada perkhidmatan kesihatan mental" tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menambah pelbagai inisiatif kesedaran dan pendidikan perlu diperkasakan bagi memastikan golongan muda berani mendapatkan bantuan apabila berdepan masalah emosi dan psikologi.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.