SHAH ALAM, 18 JUN: Program PeerZ di bawah inisiatif Selangor Mental Sihat (SEHAT) diperkenalkan sebagai usaha awal Kerajaan Negeri memperkukuh kesedaran kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah.
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata program itu membantu remaja mengenal pasti isu kesihatan mental serta mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih menyokong dan prihatin.
"PeerZ bukan sekadar ceramah tetapi merupakan satu gerakan advokasi yang memberi ruang kepada pelajar memahami kesihatan mental dengan lebih baik," katanya dalam ucapan perasmian Karnival Program Rintis Kesedaran Kesihatan Mental Remaja (PeerZ).
Menurutnya, PeerZ dilaksanakan menerusi tiga komponen utama iaitu modul kesedaran, sesi praktikal dan penganjuran karnival kesedaran kesihatan mental.
Beliau berkata program itu merangkumi empat objektif utama termasuk meningkatkan kefahaman murid mengenai kesihatan mental.
Selain itu, katanya, pelajar juga dilatih berkomunikasi dengan lebih berkesan selain digalakkan memainkan peranan sebagai rakan sokongan kepada individu yang memerlukan bantuan.
"Program ini juga bertujuan menggerakkan budaya anti-stigma serta membina komuniti sekolah yang saling menyokong tanpa menghakimi," katanya.
Jamaliah berkata usaha berkenaaan dilaksanakan dengan kerjasama daripada beberapa rakan strategik termasuk PERKAMA International dan Epid ETC Consulting.
"Kesihatan mental bukan lagi isu yang boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan aspek kemanusiaan, pendidikan dan masa depan negara," katanya.
Beliau berkata pendekatan awal seperti program tersebut penting bagi memastikan pelajar tampil lebih berani mendapatkan bantuan sebelum sesuatu masalah menjadi lebih serius dan kecenderungan masalah mental.









