SHAH ALAM, 4 NOV: Seramai 7,677 anggota pelbagai agensi di Selangor diarahkan bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026 yang dijangka berterusan sehingga Mac tahun depan.
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata penyelarasan operasi, pemantauan kawasan berisiko dan kesiapsiagaan aset perlu berada pada tahap optimum bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sepanjang tempoh monsun.
"Kerajaan Negeri mengerahkan seluruh jentera melibatkan Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN), pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah serta agensi berkaitan supaya sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi sepanjang MTL 2026.
"Keupayaan operasi ini disokong 708 kenderaan darat, 247 aset pengangkutan air serta peralatan operasi termasuk 5,739 khemah, 1,950 jaket keselamatan, 141 pam air, 48 waterjet, 192 gergaji rantai dan 20 dron bagi operasi menyelamat, pemindahan serta bantuan kecemasan," katanya menerusi kenyataan.

Menurut Jamaliah, jumlah hujan tahunan bagi tahun ini di Selangor dianggarkan 2,232 milimeter (mm) berdasarkan unjuran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.
Katanya, setakat ini, 1,460 mm atau 65 peratus daripada anggaran tahunan telah direkodkan sehingga 1 November lalu selain 268 mm dan 230 mm taburan hujan dijangka diterima sehingga Disember depan.
"Dalam memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi risiko banjir sepanjang tempoh ini, JPS telah memastikan aset dan sistem pemantauan hidrologi berada pada tahap optimum," katanya.
Tambahnya, ketika ini, Selangor dilengkapi 221 stesen telemetri hujan, 124 stesen telemetri aras air, 140 siren amaran dan 72 kamera IP bagi membolehkan pemantauan keadaan cuaca serta paras air dilaksanakan secara berterusan.
"Sebanyak 353 pintu air dan 161 unit pam tetap turut tersedia bagi menyokong pengurusan aliran air serta mempertingkat keupayaan operasi pengurusan banjir di seluruh negeri.
"Bagi mempertingkat keupayaan tindakan di lapangan, 150 unit pam bergerak turut disediakan, terdiri 31 unit milik Kerajaan Persekutuan dan 119 unit milik Kerajaan Negeri.
"Pengoperasiannya disokong oleh 15 anggota pasukan Bahagian Pengurusan Mekanikal dan Elektrikal (BPME), lima lori kren serta lima kenderaan pacuan empat roda bagi memastikan pam dapat digerakkan ke lokasi memerlukan," ujarnya.










