EXCO: Dakwaan penerokaan Hutan Simpan Bukit Cherakah punca banjir disiasat

8 Nov 2026, 9:04 AM
EXCO: Dakwaan penerokaan Hutan Simpan Bukit Cherakah punca banjir disiasat

SABAK BERNAM, 8 NOV: Kerajaan Negeri akan menyiasat dakwaan aktiviti penerokaan hutan di sekitar Hutan Simpan Bukit Cherakah yang dikaitkan dengan kejadian banjir kilat berulang di Puncak Alam sepanjang tahun ini.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang laporan berhubung aktiviti penerokaan hutan di kawasan berkenaan.

“Maklumat yang saya ada sekarang adalah kawasan Hutan Simpan Bukit Cherakah masih dikekalkan meliputi 1,298.86 hektar manakala Hutan Simpanan Bukit Cherakah Tambahan seluas 982.80 hektar.

“Kedua-dua kawasan diuruskan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) sebagai hutan perlindungan selain menjadi habitat pelbagai fauna dan flora. Sebahagian kawasan ini menempatkan Taman Botani Negara Shah Alam dan berfungsi sebagai kawasan tadahan air,” katanya.

Ditemui pada majlis perasmian penutupan Karnival Ban Canal 2026 di Parit 14, Simpang Lima, Jamaliah menegaskan pihaknya akan menyiasat apabila ada dakwaan tetapi buat masa ini tiada maklumat tambahan.

“Biasanya kita akan siasat dan rujuk kepada JPNS,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Permuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam mendakwa kawasan 360 darjah di sekeliling Hutan Simpan Bukit Cherakah kini berdepan kejadian banjir kilat berulang sepanjang tahun ini, termasuk insiden terbaharu, susulan aktiviti pembersihan hutan di pinggir kawasan simpan itu.

Dakwa penduduk, kejadian banjir di Puncak Alam mempunyai kaitan dengan aktiviti pembersihan hutan di pinggir kawasan simpan berkenaan susulan sebahagian kawasan hutan seluas lebih 1,200 hektar itu dikatakan telah dinyahwarta.

Penyahwartaan berkenaan didakwa dibuat berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 2000, sebelum diwartakan pada 2022.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.