Laporan Program Kesedaran Kesihatan Mental Remaja dijangka siap September depan

4 Ogos 2026, 6:49 AM
Laporan Program Kesedaran Kesihatan Mental Remaja dijangka siap September depan

SHAH ALAM, 4 OGOS: Laporan keberkesanan Program Kesedaran Kesihatan Mental Remaja (PeerZ) yang disedia Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA) dijangka siap September depan.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata laporan tersebut akan menjadi asas kepada penilaian menyeluruh keberkesanan modul rintis, seterusnya digunakan untuk mengenal pasti aspek penambahbaikan sebelum program diperluas ke peringkat negeri.

"Pendekatan ini memastikan sebarang penambahbaikan dibuat berlandaskan data serta pengalaman sebenar pelaksanaan di sekolah sekali gus menjamin keberkesanan modul apabila dilaksanakan secara lebih meluas.

"Indikator keberkesanan yang digunakan dalam penilaian modul rintis ini merangkumi tahap pengetahuan dan kesedaran kesihatan mental dalam kalangan peserta melalui penilaian pra dan pasca modul, tahap kemahiran serta keyakinan murid Pembimbing Rakan Sebaya dalam memberi sokongan awal kepada rakan sebaya," katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Terdahulu, menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Balakong Ong Chun Wei berhubung program PeerZ, Jamaliah memaklumkan projek rintis program tersebut telah berjaya dilaksanakan di dua buah sekolah menengah di Petaling Jaya.

Sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama Damansara 3 dan SMK Bandar Utama Damansara 4.

Menerusi program itu, seramai 47 murid Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) telah menerima latihan berstruktur melalui dua modul utama, iaitu Modul Kesedaran Kesihatan Mental (Mental Health Awareness - MHA) dan Modul Helping Skill.

Pelaksanaan program ini turut mendapat sokongan daripada guru kaunseling, guru penasihat PRS, pentadbir sekolah, serta rakan strategik daripada institusi pengajian tinggi dan badan profesional yang bersama-sama memperkukuh keberkesanan pendekatan yang dilaksanakan.

Sebelum ini, Jamaliah berkata Kerajaan Selangor memperuntukkan RM1.5 juta bagi melaksanakan program kesihatan mental di sekolah termasuk inisiatif dikenali sebagai PeerZ bermula tahun ini.

Program berkenaan bertujuan memperkukuh tahap kesihatan mental dalam kalangan pelajar, dengan pelaksanaan awal membabitkan dua sekolah di Bandar Utama.

Menurutnya, inisiatif itu memberi tumpuan kepada pendidikan kesedaran, sokongan rakan sebaya dan pembangunan kemahiran emosi sekali gus membentuk persekitaran pembelajaran yang lebih sihat serta berdaya tahan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.