Pemilik tanah punca penempatan di Sungai Tekali terus berlarutan

9 Jun 2026, 9:18 AM
Pemilik tanah punca penempatan di Sungai Tekali terus berlarutan

SHAH ALAM, 9 JUN: Isu penempatan di Sungai Tekali, Hulu Langat didapati terus berlarutan susulan tindakan pemilik tanah yang membenarkan tanah mereka digunakan bagi pembinaan struktur dan penempatan tanpa kelulusan pihak berkuasa.

Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Datuk Wira Johan Abd Aziz berkata perkara itu bukan isu baharu malah telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Hulu Langat sejak tahun lalu, selain pelbagai operasi penguatkuasaan, pemantauan dan tindakan susulan turut dilaksanakan oleh agensi berkaitan.

Menurutnya, usaha menangani isu berkenaan bagaimanapun berdepan cabaran apabila terdapat pemilik tanah yang membenarkan tanah mereka digunakan tanpa kebenaran pihak berkuasa, termasuk bagi pembinaan penempatan serta penyediaan kemudahan asas.

Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Datuk Wira Johan Abd Aziz. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Punca utama ialah tindakan pemilik tanah yang membenarkan penggunaan tanah bagi tujuan penempatan dan pembinaan struktur tanpa kelulusan termasuk menyediakan kemudahan utiliti seperti bekalan air dan elektrik.

“Keadaan ini bukan sahaja melanggar peraturan malah menyukarkan usaha agensi kerajaan untuk menangani isu tersebut secara berkesan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Johan berkata terdapat beberapa maklumat, hasil siasatan dan tindakan yang tidak dapat didedahkan kepada umum ketika ini kerana melibatkan operasi penguatkuasaan yang masih berjalan selain tertakluk kepada prosedur serta peruntukan undang-undang.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan isu berkenaan akan dibangkitkan semula dalam Mesyuarat Tindakan Daerah akan datang bagi memastikan langkah penyelesaian yang lebih menyeluruh dan berkesan dapat dilaksanakan.

Tangkap layar yang memaparkan bangunan bertingkat dihuni warga asing di Sungai Tekali, Hulu Langat. Foto Facebook Datuk Wira Haji Johan Abd Aziz

Sebelum ini, tular di media sosial video yang dimuat naik oleh penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin memaparkan sebuah struktur kediaman bertingkat yang dipercayai dibina tanpa kelulusan di kawasan Sungai Tekali, Hulu Langat.

Rakaman berkenaan menunjukkan sebuah bangunan dengan laluan koridor berbumbung zink, dinding bata yang tidak disimen sepenuhnya serta sambungan paip air dan pendawaian elektrik yang dipercayai dipasang secara tidak teratur.

Video itu turut memaparkan sebuah bangunan menyerupai flat empat tingkat yang dipercayai dibina secara tidak sah di kawasan terpencil dan dikaitkan dengan penempatan etnik Rohingya di lokasi tersebut.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.