Ibu Prebet Siti Khadijah hampir pengsan iringi pengebumian anak terkorban

17 Jun 2026, 7:10 AM
Ibu Prebet Siti Khadijah hampir pengsan iringi pengebumian anak terkorban

SHAH ALAM, 17 JUN: Suasana pilu menyelubungi pengebumian anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), Allahyarham Prebet Siti Khadijah yang maut dalam insiden letupan bom ketika menjalani latihan membaling grenad di Kem Hobart, Sungai Petani, Kedah.

Lebih menyentuh hati apabila ibu Allahyarham, Zaliha Said, 56, beberapa kali hampir pengsan ketika menghadiri pengebumian anak bongsunya itu di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Lambak, Kluang tengah hari tadi.

Keadaan itu menyebabkan wanita terbabit terpaksa diusung ke pusara bagi memberi penghormatan terakhir kepada anaknya sebelum jenazah dikebumikan.

Dalam suasana penuh emosi, kakak Allahyarham, Siti Zaiha Sungip, 39, dilaporkan menenangkan ibunya dengan kata-kata, “Mak kena kuat”, lapor Berita Harian.

Allahyarham Prebet Siti Khadijah, 24, selamat dikebumikan pada jam 1.15 tengah hari mengikut istiadat ketenteraan sebaik jenazah tiba dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada jam 3 pagi tadi.

Sebelum itu, van yang membawa jenazah singgah di kediaman ibu bapanya sebagai persinggahan terakhir sebelum dibawa ke Masjid Nurul Iman untuk solat jenazah.

Solat jenazah diimamkan Mejar Mohd Azlan Shah Abdul Razak dari Institut Kejuruteraan Medan (IKM) TDM.

Kira-kira 200 ahli keluarga, sanak saudara, jiran dan anggota tentera hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Suasana sedih kelihatan apabila beberapa ahli keluarga dan sanak saudara tidak dapat menahan sebak sebaik van jenazah tiba di hadapan rumah keluarga sekitar jam 12.10 tengah hari.

Dalam kejadian jam 10.57 pagi semalam, Allahyarham Prebet Siti Khadijah dan Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, maut akibat terkena letupan bom ketika menjalani latihan di lapang sasar Kem Hobart, Sungai Petani.

Kedua-dua anggota terbabit disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.