SHAH ALAM, 16 SEPT: Seorang anggota polis cedera selepas terjatuh apabila motosikal ditunggangnya dihimpit sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika mengejar sekumpulan lelaki dipercayai terbabit kes curi kabel di Jalan Dorset, Kluang pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang Superintenden Nik Mohd Azmi Husin berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.45 pagi.
Menurutnya, kejadian kecurian kabel berkenaan berlaku beberapa jam sebelum laporan diterima.
“Kejadian kecurian kabel berlaku jam 1.57 pagi dan suspek menarik kabel itu dengan menggunakan pacuan empat roda,” katanya.
Dalam kejadian itu, anggota polis terbabit terjatuh dan cedera selepas motosikalnya dihimpit kenderaan berkenaan ketika mengejar kumpulan lelaki tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 353 kanun sama, iaitu menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan atau menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan menerusi talian 07-7784222, hotline 07-7766822, 07-7784256 atau 014-365682.
Kejadian membabitkan anggota polis dan kenderaan pacuan empat roda itu turut dirakam orang ramai sebelum rakamannya tular di media sosial.






