Jenazah anggota tentera maut dalam letupan dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan

17 Jun 2026, 12:28 AM
Jenazah anggota tentera maut dalam letupan dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan
Jenazah anggota tentera maut dalam letupan dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan
Jenazah anggota tentera maut dalam letupan dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan

SUNGAI PETANI, 17 JUN: Jenazah anggota tentera yang meninggal dunia akibat insiden letupan ketika menjalani latihan di Kem Hobart, Gurun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Busyra, Merbok dekat sini jam 5.25 pagi tadi, mengikut istiadat ketenteraan.

Terdahulu jenazah Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, selesai dibedah siasat jam 2.30 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar sebelum dimandi dan dikafankan di hospital berkenaan.

Jenazah kemudian dibawa pulang ke kediaman keluarganya yang terletak di Kampung Tupah Lama, Merbok dan tiba jam 3.35 pagi.

Selepas itu, jenazah dibawa ke Masjid Al Busyra, Merbok dan disolatkan yang diimamkan oleh Pegawai Staf Agama Briged Keenam Infantri Malaysia Mejar Mohd Sobri Che Hassan.

Upacara pengebumian Allahyarham dijalankan mengikut istiadat ketenteraan sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya dalam pasukan keselamatan negara.

Simbolik Penyerahan Bendera diserahkan oleh Pegawai Memerintah Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja Leftenan Kolonel Wazir Syafiq Nodin kepada Panglima Briged Keenam Infantri Malaysia Brigedier Jeneral Mohd Fouzi Sulaiman, sebelum diserahkan kepada isteri Allahyarham Siti Fairus Mohamad Yussof, 38.

Allahyarham Norazmi meninggalkan dua orang anak, Nurliana Danishah, 14, dan Muhammad Rizhan Darwish, 8.

Dalam kejadian 10.57 pagi semalam Allahyarham Norazmi daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bersama seorang lagi anggota, Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), dilaporkan mengalami kecederaan akibat letupan.

Kedua-dua anggota dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bagi mendapatkan rawatan lanjut, namun, kedua-duanya disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Kedua-duanya dikatakan sedang menjalani latihan membaling grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia yang dijalankan di Kem Hobart, Gurun.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.