MPKL sita penjaja warga asing jual buah potong tanpa lesen di Pantai Kelanang

17 Jun 2026, 1:22 AM
MPKL sita penjaja warga asing jual buah potong tanpa lesen di Pantai Kelanang

KUALA LANGAT, 17 JUN: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengarahkan seorang penjaja warga asing menghentikan operasi perniagaannya serta-merta selepas didapati menjual buah-buahan potong tanpa lesen yang sah di Pantai Kelanang, di sini, kelmarin.

MPKL dalam kenyataan di Facebook memaklumkan tindakan itu diambil menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Penguatkuasa MPKL di kawasan pantai berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati seorang penjaja warga asing menjalankan perniagaan menjual buah-buahan potong tanpa lesen yang sah daripada MPKL, sekali gus melanggar Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Penjaja MDKL 2007.

"Tindakan sitaan terhadap buah-buahan potong telah dilaksanakan di bawah Undang-Undang Kecil 42(1), Undang-Undang Kecil yang sama," katanya.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPKL Rizaki Jaapar berkata, penjaja terbabit dikesan ketika pemantauan anggota di Pantai Morib dan Pantai Kelanang pada hari operasi dijalankan.

Beliau berkata, ketika tindakan diambil hanya seorang penjaja diperiksa kerana dipercayai warga asing, manakala penjaja lain di kawasan berkenaan merupakan penjaja tetap yang berniaga di kiosk dan medan selera milik MPKL.

"Penjaja tersebut adalah warga Kemboja yang mempunyai pasport. MPKL tidak mempunyai kuasa untuk menangkap warga asing, justeru tiada tindakan diserahkan kepada agensi lain," katanya kepada Media Selangor.

Menurut Rizaki, semakan mendapati individu terbabit pertama kali dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa tempatan itu dan dipercayai beroperasi secara bersendirian.

Bagaimanapun, katanya, anggota penguat kuasa tidak dapat mengesahkan tempoh sebenar penjaja berkenaan menjalankan perniagaan di lokasi tersebut.

"OKS diarahkan berhenti berniaga serta-merta dan barang-barang perniagaan turut disita. Jika buah-buahan sitaan tidak dituntut dalam tempoh 24 jam, ia akan dilupuskan. Anggaran nilai sitaan adalah RM500," tambahnya.

Beliau berkata, MPKL akan terus memberi tumpuan pemantauan di kawasan pelancongan terutama pada hujung minggu, cuti umum dan cuti am bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan ditetapkan.

"MPKL turut memantau perniagaan yang dijalankan oleh warga asing di kawasan lain menerusi rondaan harian," tegasnya.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.