Perobohan penempatan haram Sungai Makau selesai sepenuhnya

5 Jul 2026, 3:00 AM
Perobohan penempatan haram Sungai Makau selesai sepenuhnya
Perobohan penempatan haram Sungai Makau selesai sepenuhnya

HULU LANGAT, 5 JULAI: Kerja merobohkan kediaman bertingkat yang dibina secara haram di Kampung Baru Sungai Makau, Hulu Langat, selesai sepenuhnya.

Pegawai Daerah Hulu Langat, Dato' Mohd Jusni Hashim berkata, pemilik tanah kini meneruskan kerja pembersihan dan mengalihkan sisa binaan di tapak berkenaan.

"Penempatan itu telah lama dikosongkan daripada komuniti Rohingya. Namun, bangunan berkenaan masih kekal sebelum kerja perobohan dilaksanakan bersama pemilik tanah," katanya.

Ditemui selepas merasmikan Jelajah Wanita Berdaya Tahan Selangor 2026 Zon Hulu Langat, semalam, beliau berkata pihaknya akan menjalankan pemantauan secara berkala bagi memastikan tiada lagi bangunan didirikan tanpa kebenaran.

Struktur binaan tanpa kebenaran di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Ulu Langat mula dirobohkan secara berperingkat sejak 13 Jun lalu. Foto Facebook

“Dengan robohnya keseluruhan didapati tiada lagi mereka di kawasan ini cuma kita merasakan mereka akan beralih ke kawasan lain.

“Kita dari semasa ke semasa akan meneliti kawasan-kawasan diijangka dijadikan penempatan baharu. Apa pun perkara ini lebih kepada perbincangan di peringkat lebih tinggi iaitu persekutuan kerana mereka pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” ujarnya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan isu kediaman bertingkat yang didirikan secara tidak sah itu bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah melalui pelbagai proses penguatkuasaan sejak 2016.

Jelasnya, pelbagai langkah telah diambil oleh agensi kerajaan termasuk pengeluaran notis amaran, kompaun, operasi bersepadu, siasatan dan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang.

Menurut Amirudin, tindakan itu melibatkan beberapa agensi termasuk Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia serta operasi perobohan terhadap struktur yang dibina tanpa kebenaran.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.