Pembinaan bilik darjah lebih pantas, bantu atasi kesesakan sekolah

14 Okt 2026, 5:02 AM
Pembinaan bilik darjah lebih pantas, bantu atasi kesesakan sekolah
Pembinaan bilik darjah lebih pantas, bantu atasi kesesakan sekolah
Pembinaan bilik darjah lebih pantas, bantu atasi kesesakan sekolah

HULU LANGAT, 14 OKT: Penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) mampu mempercepat pembinaan bilik darjah tambahan bagi menangani kesesakan sekolah, sekali gus menyediakan persekitaran pembelajaran lebih kondusif kepada murid.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata kaedah pembinaan itu membolehkan projek disiapkan lebih awal, terutama di kawasan padat penduduk yang memerlukan penambahan kemudahan pendidikan.

“IBS ini adalah game changer untuk kita dalam mempersiapkan pembinaan dan juga penyediaan ruang pembelajaran yang jauh lebih kondusif untuk anak-anak kita.

“Kebanyakan sekolah terutama sekitar Hulu Langat ini adalah sekolah lama dan dengan kawasan yang semakin padat. Jadi bila kita melihat projek IBS dapat disiapkan jauh lebih awal, ia adalah satu rahmat yang sangat besar kepada Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Siap Program Pembinaan Bangunan Modular dan IBS membabitkan enam sekolah di Hulu Langat, merangkumi 19 pakej projek dengan pembinaan 68 bilik darjah, di sini hari ini.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek menyerahkan dokumen secara simbolik pada Majlis Penyerahan Projek Siap Program Pembinaan Bangunan Modular dan IBS di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra, Bangi pada 14 Oktober 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Enam sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Ampang Campuran, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Reko, SMK Kajang Utama, SMK Dusun Nanding, SMK Bandar Rinching dan SMK Bandar Seri Putra.

Fadhlina berkata pelaksanaan projek itu amat bermakna kepada Selangor yang berdepan pertambahan penduduk dan peningkatan keperluan pendidikan, selain mempunyai sekolah lama yang memerlukan penambahbaikan kemudahan.

Menurutnya, penambahan bilik darjah bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan, malah membantu mewujudkan suasana pembelajaran lebih selesa dan berkesan.

“Bukan sahaja untuk kelas yang padat, tetapi juga untuk sesi pelajaran yang jauh lebih efektif dan baik untuk anak-anak kita,” katanya.

Beliau turut menegaskan penyerahan projek bukan sekadar menyediakan bangunan fizikal, sebaliknya membawa tanggungjawab memastikan kemudahan dibina selamat dan memenuhi keperluan warga sekolah.

Pengarah Kanan Cawangan Perancangan Aset Bersepadu JKR, Ir Maria Marcus berucap pada Majlis Penyerahan Projek Siap Program Pembinaan Bangunan Modular dan IBS di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra, Bangi pada 14 Oktober 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Pengarah Kanan Cawangan Perancangan Aset Bersepadu Jabatan Kerja Raya (JKR) Ir Maria Marcus berkata pembinaan bangunan modular dan IBS merupakan antara inisiatif kerajaan menerusi Program Quick Win Cakna MADANI bagi memperkukuh infrastruktur pendidikan negara.

Maria yang menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) berkata JKR diamanahkan melaksanakan 669 projek langkah pantas pada 2026 di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Ia merangkumi 97 projek sekolah modular dan IBS, 51 dewan serbaguna terbuka berbumbung serta 521 projek bilik darjah tambahan bagi kemasukan Tahun Satu sesi 2027, melibatkan pelbagai negeri di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan.

“Sehingga kini, JKR berjaya mengeluarkan sebut harga bagi projek ini melibatkan 626 sekolah di 13 negeri,” katanya.

Di bawah RMK13, Kementerian Kerja Raya bersama KPM memperluas pelaksanaan pembinaan bangunan modular dan IBS di sekolah seluruh negara.

Teknologi itu menggunakan kaedah Modular Precast System (MPS) atau bilik darjah jenis kabin pasang siap, dengan struktur disiapkan di kilang sebelum dibawa ke tapak projek untuk pemasangan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.