SHAH ALAM, 16 JUN: Kerja perobohan struktur binaan tanpa kebenaran di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Ulu Langat dilaksanakan secara berperingkat sejak 13 Jun lalu, membabitkan binaan yang didirikan di atas rizab sungai dan rizab jalan.
Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat memaklumkan tindakan itu dilaksanakan oleh pemilik tanah susulan penyelarasan bersama pelbagai agensi kerajaan berhubung isu penempatan yang didiami etnik Rohingya di kawasan berkenaan.
Menurutnya, kawasan yang terlibat dianggarkan seluas 1,845 meter persegi, merangkumi struktur kediaman bertingkat serta beberapa unit binaan satu tingkat yang dibina di atas tanah persendirian dan tanah kerajaan.
"Pada 13 Jun 2026, pemilik tanah telah memulakan tindakan perobohan struktur-struktur berkaitan, bermula dengan struktur yang berada di atas rizab sungai dan rizab jalan terlebih dahulu.
"Pemilik tanah akan mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan bagi merobohkan struktur bangunan kediaman bertingkat dengan mengambil kira aspek teknikal dan keselamatan yang peru dipatuhi," katanya dalam kenyataan.

PDT Hulu Langat turut memaklumkan kos siling bagi kerja perobohan, pembersihan kawasan serta baik pulih tebing sungai yang terjejas dianggarkan sebanyak RM600,000.
Menurutnya, isu tersebut telah dibincangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Isu Berkaitan Struktur Binaan Tanpa Kebenaran di Kampung Baru Sungai Makau pada 10 Jun lalu.
"Mesyuarat ini dipengerusikan Pegawai Daerah Hulu Langat selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah yang turut dihadiri Ahli Parlimen Hulu Langat, Ahli Dewan Negeri Dusun Tua serta agensi kerajaan berkaitan
"Mesyuarat berkenaan membincangkan tindakan penguatkuasaan yang telah diambil sehingga kini di bawah bidang kuasa agensi masing-masing serta tindakan selanjutnya yang perlu dilaksanakan bagi maksud perobohan struktur binaan tanpa kebenaran itu," katanya.
Pada 10 Jun lalu, Kerajaan Selangor menegaskan isu kediaman bertingkat yang didirikan secara tidak sah di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Ulu Langat yang tular di media sosial baru-baru ini bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah melalui pelbagai proses penguatkuasaan sejak 2016.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata pelbagai langkah telah diambil oleh agensi kerajaan termasuk pengeluaran notis amaran, kompaun, operasi bersepadu, siasatan dan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang.
Menurutnya, tindakan itu melibatkan beberapa agensi termasuk PDT Hulu Langat, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia serta operasi perobohan terhadap struktur yang dibina tanpa kebenaran.




