SHAH ALAM, 3 NOV: Sebanyak sembilan Kampung Baru Cina di Hulu Langat menerima peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tahun ini bagi menaik taraf jalan dan sistem perparitan demi meningkatkan keselesaan penduduk.
Pegawai Pembangunan Kampung Baru Hulu Langat, Jeffrey Hoh Mun Onn berkata beberapa projek telah siap dilaksanakan, manakala kerja lain masih diteruskan mengikut jadual.
Menurutnya, kampung terlibat ialah Kampung Baru Tarun Broga, Kampung Baru Semenyih, Kampung Baru Balakong, Kampung Baru Sungai Chua, Kampung Baru Batu 11 Cheras, Kampung Baru Bangi, Kampung Baru Ampang, Kampung Kenangan Batu 18, Hulu Langat dan Kampung Kwan Tung Baru.
“Kampung Baru Semenyih menerima RM200,000 untuk menaik taraf Jalan 13, manakala Kampung Kenangan Batu 18 membelanjakan RM130,000 bagi kerja menurap jalan dan membaiki parit.
"Kerja menurap Jalan 11 di Kampung Baru Ampang menggunakan peruntukan RM200,000 siap antara April hingga Mei lalu, manakala Kampung Baru Broga menerima kira-kira RM155,000 bagi menaik taraf sebahagian laluan yang disiapkan pada Februari dan Mac tahun ini,” katanya kepada Media Selangor.

Jeffrey berkata, Kampung Baru Batu 11 Cheras menerima hampir RM110,000 bagi menaik taraf Jalan Dewan, Jalan 3 dan Jalan 7.
"Hampir RM200,000 pula diperuntukkan bagi membaiki parit dan menurap jalan utama serta Jalan Aman 1 di Kampung Baru Bangi.
“Kampung Kwan Tung Baru menerima RM200,000 untuk menaik taraf jalan dan parit di enam lorong. Kini hanya berbaki kerja mengecat garisan kuning dan memasang bonggol jalan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kerja menurap Jalan 26 dan Jalan 4 di Kampung Baru Sungai Chuah yang bermula minggu lalu dijangka siap minggu ini.
Bagi Kampung Baru Balakong, katanya, peruntukan RM200,000 digunakan untuk menaik taraf dan menggantikan parit uzur di kawasan persimpangan T, dengan kerja pembinaan dijangka siap hujung tahun ini.
Beliau berkata pihaknya akan mendapatkan cadangan ketua kampung dan menjalankan tinjauan lokasi bagi mengenal pasti projek yang perlu diberi keutamaan sebelum memohon peruntukan tahun depan.
“Ketua kampung paling memahami keadaan kampung baru masing-masing dan mengetahui projek mana yang lebih mendesak,” katanya.
Menurut beliau, projek kurang mendesak boleh dipertimbangkan menggunakan peruntukan pembangunan Kampung Baru Kerajaan Negeri.

Dalam perkembangan lain, Kampung Baru Broga merancang membina gelanggang bola keranjang berbumbung bersebelahan Klinik Kesihatan Kampung Baru Broga menggunakan dua pertiga daripada hadiah RM300,000 yang dimenangi menerusi Pertandingan Keceriaan Kampung Baru Sempena Tahun Baru Cina 2024.
Baki hadiah berkenaan pula akan digunakan bagi menaik taraf pagar dan parit, manakala kerja pembinaan gelanggang dijangka bermula awal tahun depan.








