Raja Muda Selangor santuni pembuat parang tradisional, sumbang RM10,000

16 Jun 2026, 10:00 AM
Raja Muda Selangor santuni pembuat parang tradisional, sumbang RM10,000

AMPANG JAYA, 16 JUN: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke bengkel pembuat parang tradisional, Razali Mohd Thani atau lebih dikenali sebagai Pak Ali di Ampang sempena Gagasan Rumpun Selangor edisi kedua (GRS 2.0) daerah Gombak, hari ini.

Keberangkatan Baginda diiringi EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hasrolnizam Shaari. Terdahulu, Raja Muda Selangor berkenan menandatangani plak kedatangan sebagai simbol lawatan rasmi ke bengkel berkenaan.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke lawatan industri ketika program Gagasan Rumpun Selangor 2.0 Daerah Gombak di Pak Ali Ulu Parang, Ampang Jaya pada 16 Jun 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Dalam lawatan itu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya turut menyampaikan cenderahati istimewa berupa parang berhulu cenderik yang diukir sendiri oleh Pak Ali kepada Baginda.

Raja Muda Selangor juga berkenan menyaksikan penyampaian sumbangan berjumlah RM10,000 daripada Kerajaan Negeri oleh Rizam kepada Pak Ali bagi membantu pembelian peralatan perniagaan.

Tengku Amir Shah kemudian mendengar taklimat berhubung operasi perniagaan serta perkembangan perusahaan seni pembuatan parang yang diusahakan Pak Ali sejak puluhan tahun lalu.

Selain itu, Raja Muda Selangor turut berkenan menyaksikan sendiri proses penghasilan hulu parang yang dilakukan secara tradisional oleh Pak Ali.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melawat pameran pelbagai jenis parang dalam lawatan industri ketika program Gagasan Rumpun Selangor 2.0 Daerah Gombak di Pak Ali Ulu Parang, Ampang Jaya pada 16 Jun 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Pak Ali, 71, berkata beliau terharu dan tidak menyangka Raja Muda Selangor menunjukkan minat mendalam terhadap seni ukiran parang sehingga meluangkan masa lebih sejam di bengkelnya.

“Saya tidak sangka baginda begitu berminat dengan seni ukir parang dan meluangkan masa lebih lama daripada jadual asal lawatan.

“Baginda juga menyatakan hasrat untuk membuat tempahan dan akan menghantar pembantu bagi mendapatkan hasil seni ukiran parang yang saya hasilkan,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas sumbangan diterima daripada Kerajaan Negeri yang akan digunakan untuk membeli peralatan perniagaan.

Kongsinya lagi, bengkel miliknya pernah terbakar sebanyak dua kali iaitu pada 2013 dan 2023 sehingga menyebabkan premis berkenaan hangus serta memusnahkan sebahagian besar peralatan kerja.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan penyerahan cek cura kepada Pengusaha seni ukir parang, Razali Mohd Thani (pak ali) ketika lawatan industri program Gagasan Rumpun Selangor 2.0 Daerah Gombak di Pak Ali Ulu Parang, Ampang Jaya pada 16 Jun 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Ketika itu saya banyak bergantung kepada bantuan dan sumbangan rakan-rakan untuk membeli semula peralatan bagi meneruskan perusahaan ini,” kongsinya.

GRS diperkenalkan bagi memperkukuh semangat perpaduan dan sistem kemasyarakatan di Selangor.

Pelaksanaannya merangkumi enam agenda utama iaitu karnival dan eksplorasi, dasar, lagu perpaduan serta penstrukturan dan pemerkasaan institusi kepimpinan kampung.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.