Jelajah GRS 2.0: MBI, rakan strategik sumbang RM4.5 juta baik pulih infrastruktur awam

5 Mei 2026, 4:44 AM
Jelajah GRS 2.0: MBI, rakan strategik sumbang RM4.5 juta baik pulih infrastruktur awam
Jelajah GRS 2.0: MBI, rakan strategik sumbang RM4.5 juta baik pulih infrastruktur awam

PETALING JAYA, 5 MEI: Rakan strategik kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan berganding bahu menyediakan dana berjumlah RM4.5 juta bagi membaik pulih kemudahan infrastruktur awam.

Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata projek baik pulih dan penyelenggaraan itu melibatkan seluruh daerah dan dilaksanakan sempena penganjuran Gagasan Rumpun Selangor (GRS) 2.0 yang bermula hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menjalin kerjasama dengan beberapa syarikat korporat yang beroperasi di negeri ini bagi mendapatkan sokongan dalam memastikan keselamatan penduduk terus terjamin.

“Menerusi belanjawan tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4.5 juta bagi menjayakan GRS 2.0. Jadi, MBI akan menambah RM4.5 juta lagi dalam bentuk geran padanan yang dibiayai rakan strategik.

“Mereka akan terlibat dalam projek angkat, khususnya melibatkan baik pulih kemudahan awam yang dipilih Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor. Syarikat-syarikat ini akan bersama membantu memenuhi keperluan rakyat,” katanya ketika ditemui pada program GRS 2.0 hari ini.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor bercakap kepada media ketika program Gagasan Rumpun Selangor (GRS 2.0) Daerah Petaling di SS7, Petaling Jaya pada 5 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Berikutan kerjasama itu, Ahmad Azri berkata pihaknya akan membantu mendapatkan pengecualian cukai bagi syarikat terlibat, memandangkan usaha murni mereka membantu rakyat.

Terdahulu, Tengku Amir Shah bersama Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz berangkat tiba ke GRS 2.0 yang membuka tirai jelajahnya hari ini di Petaling dengan fokus memperkukuh perpaduan masyarakat.

GRS yang diperkenalkan pada 2024 akan diteruskan ke Hulu Langat selama dua hari pada minggu depan, disusuli Sabak Bernam, Sepang, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor dan berakhir di Klang pada Oktober.

Program itu diperkenalkan bagi memperkukuh semangat perpaduan serta sistem kemasyarakatan di Selangor.

Pelaksanaannya merangkumi enam agenda utama, iaitu karnival dan eksplorasi, dasar, lagu perpaduan serta penstrukturan dan pemerkasaan institusi kepimpinan kampung.

Dalam edisi pertama yang bermula Februari 2024, program itu telah menjelajah ke semua daerah, bermula di Hulu Selangor sebelum berakhir di Gombak.

Pada 15 April, EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail berkata GRS 2.0 akan memperkenalkan projek angkat melibatkan kerja pembinaan baharu, baik pulih dan penyelenggaraan infrastruktur awam.

Beliau berkata konsep lebih unik yang diperkenalkan tahun ini akan memberi tumpuan kepada mengenal pasti kemudahan rosak sekali gus menjamin keselamatan orang ramai.


Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.