SHAH ALAM, 21 OKT: Pelakon Dwan Hamid memohon maaf kepada Sultan Selangor dan Raja Muda Selangor (RMS) susulan tindakannya mendedahkan dakwaan penipuan menggunakan nama kerabat diraja menerusi platform Threads.
Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Muhammad Ridzuan Shahul Hamid, 34, mahu individu yang didakwa menjadi dalang penipuan membabitkan pasangan kekasih itu ditangkap bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa.
“Saya memohon maaf kepada Sultan Selangor dan RMS kerana mengeluarkan kenyataan sebegini di Threads. Kita rakyat hendak membantu pihak istana membersihkan nama baginda berdua,” katanya seperti dilapor Kosmo!.
Dwan mendakwa kerugian RM30,000 selepas berurusan dengan seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai khas kepada Pengawal Peribadi Sulit (ADC) RMS berhubung tawaran pembelian rumah berharga RM115,000 di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 2023.
Menurutnya, lelaki yang dikenalinya melalui seorang kenalan itu mendakwa RMS mempunyai kuota 40 hingga 50 rumah bagi setiap projek di Selangor, termasuk rumah kos rendah dengan bayaran deposit RM15,000.
“Pada 2023, saya bertemu dengan lelaki itu di Bukit Bintang dan ketika itu, pengawal peribadi sulit RMS turut berada bersama.
“Sebab itu saya tidak mengesyaki apa-apa ketika ditawarkan rumah kos rendah yang kononnya boleh disiapkan dalam tempoh lima hingga enam bulan,” katanya.
Dwan berkata beliau sempat memeriksa projek perumahan yang ditawarkan sebelum membuat dua transaksi bayaran dalam talian berjumlah RM30,000.
Dakwanya, individu berkenaan turut menunjukkan gambar bersama RMS dan kerabat diraja menerusi telefon bimbit bagi meyakinkannya.
Beliau turut mendakwa bertemu pasangan terbabit sebanyak tiga hingga empat kali sebelum kedua-duanya menghilangkan diri selepas menerima bayaran.
Susulan kejadian itu, Dwan mendedahkan pengalamannya di Threads sebelum mewujudkan kumpulan WhatsApp bagi menghimpunkan mangsa lain dan berkongsi maklumat berkaitan dakwaan penipuan berkenaan.
“Dalam kumpulan itu, antara 20 hingga 30 laporan polis sudah dibuat dengan anggaran kerugian kira-kira RM1 juta.
"Namun terdapat antara 70 hingga 100 lagi mangsa sedang mengumpul bukti dengan nilai kerugian dianggarkan lebih RM20 juta," katanya.
Menurutnya, mangsa bukan sahaja terdiri daripada orang awam, malah golongan profesional termasuk doktor, jurutera dan ahli jawatankuasa masjid berusia antara 20 hingga 90-an tahun dari seluruh negara.
Beliau turut melahirkan kesedihan apabila mendakwa terdapat mangsa yang sudah meninggal dunia dan berharap individu bertanggungjawab ditangkap bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Sebelum ini, media melaporkan polis sedang memburu suspek selepas menerima laporan berhubung dakwaan penyamaran berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.







