SHAH ALAM, 23 OKT: Seorang lelaki dipercayai menyamar sebagai pembantu pengiring Raja Muda Selangor selama kira-kira dua tahun bagi menjalankan kegiatan penipuan yang mengakibatkan kerugian dianggarkan RM700,000.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata setakat ini pihaknya menerima sembilan laporan polis berkaitan kegiatan itu sejak 2024.
Menurutnya, semakan mendapati suspek utama, Al Zulfadly Alias, 40, bukan kakitangan istana dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan institusi Diraja Selangor.
“Dia tiada kaitan dengan institusi Diraja Selangor atau kakitangan istana. Suspek hanya orang biasa yang mengambil kesempatan untuk melakukan penipuan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini, lapor Kosmo! Online.
Shazeli berkata, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, namun secara keseluruhan sebanyak 19 laporan polis membabitkannya diterima, termasuk di beberapa kontinjen polis lain.
Katanya, usaha mengesan suspek masih giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Norizuana Saidin, menerusi talian 014-717 5567.
Dalam perkembangan sama, polis menahan tunang suspek di sekitar Selangor bagi membantu siasatan. Wanita berusia lingkungan 30-an yang bekerja sebagai pengusaha salon itu kini direman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Polis juga sedang mengesan beberapa individu lain yang dipercayai membantu kegiatan suspek lelaki itu,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan polis membuka siasatan selepas menerima laporan daripada Pejabat Kawalan Keselamatan Sultan Selangor di Istana Mestika pada 15 Oktober lalu berhubung penyalahgunaan gambar Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Pentadbiran Istana Selangor turut memaklumkan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam kes penyamaran berkenaan.
Dalam laporan terdahulu, pelakon Muhammad Ridzuan Shahul Hamid, 34, mendakwa mengenali individu berkenaan menerusi seorang kenalan sebelum ditawarkan sebuah rumah berharga RM115,000 di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, pada 2023.
Pelakon yang turut dikenali sebagai Dwan Hamid itu berkata, individu berkenaan mendakwa Raja Muda Selangor mempunyai kuota 40 hingga 50 unit rumah bagi setiap projek di Selangor, termasuk rumah kos rendah, dengan bayaran deposit RM15,000.






