Menyamar pengiring RMS, suspek utama ditahan

28 Okt 2026, 6:20 AM
Menyamar pengiring RMS, suspek utama ditahan

SHAH ALAM, 28 OKT: Lelaki yang disyaki menyamar sebagai pengiring atau pengawal peribadi sulit Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bagi memperdaya orang ramai dalam urusan jual beli kenderaan dan rumah akhirnya ditahan di Johor Bahru, petang semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 5 petang ketika bersembunyi di sebuah rumah dipercayai milik kenalannya.

Menurutnya, suspek yang bekerja sendiri itu berjaya dikesan hasil maklumat orang ramai selepas menghilangkan diri sejak 13 Oktober lalu.

"Suspek utama ditangkap bersama dengan kenalannya iaitu pasangan adik-beradik yang dipercayai turut bersubahat dalam membantu menyembunyikan suspek.

"Pasangan adik-beradik itu membabitkan seorang perempuan berusia 26 tahun yang ditahan di Shah Alam. Manakala abangnya berusia 27 tahun ditahan di Johor," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini seperti dilapor Harian Metro.

Shazeli berkata siasatan mendapati kegiatan penipuan berkenaan membabitkan enam negeri iaitu Kuala Lumpur, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Perlis dan Selangor, dengan mangsa terdiri daripada pelbagai latar belakang.

"Suspek menggunakan modus operandi sama untuk menipu mangsa.

"Polis Selangor kini berkolaborasi dengan Bukit Aman serta polis kontinjen lain bagi mengesan saki baki suspek lain yang dipercayai terbabit dan masih bebas," katanya.

Beliau menegaskan suspek utama tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kakitangan istana mahupun institusi Diraja Selangor.

Terdahulu, Shazeli mendedahkan suspek dipercayai menggunakan gambar Tengku Amir Shah dan menyamar sebagai pegawai pengiring baginda bagi menawarkan penjualan kenderaan serta rumah sehingga menyebabkan kerugian RM960,020.

Shazeli berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan susulan 15 laporan polis yang diterima di seluruh Selangor.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.