PUCHONG, 16 JUN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita sebanyak 34 kenderaan termasuk 20 basikal kargo dalam Operasi Pemandu Warga Asing (PeWA) di sekitar Puchong, hari ini.
Operasi bermula pada 10 pagi itu, melibatkan 36 anggota JPJ Selangor dan 30 anggota Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi membanteras kenderaan yang diubah suai terutamanya basikal kargo.
Timbalan Pengarah JPJ Negeri Selangor Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata sebanyak 120 kenderaan diperiksa dan 218 kesalahan direkodkan, sepanjang operasi tersebut dengan 50 daripadanya melibatkan kesalahan tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL).
“Operasi turut merekodkan sebanyak 56 kes melibatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan 56 kes berkaitan insurans, diikuti dua kes lesen vokasional, dua kes salah guna LKM, 29 kesalahan teknikal lain serta 23 kesalahan lain.
“Selain itu, sebanyak 34 kenderaan turut disita membabitkan 12 motosikal dan 20 basikal kargo, sebuah kereta serta sebuah lori,” katanya.
Beliau berkata operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa, bagi mengesan serta mengambil tindakan terhadap warga asing yang memandu atau menunggang kenderaan tanpa lesen dan dokumen sah.
“Orang ramai termasuk majikan dan pemilik kenderaan, diingatkan supaya tidak membenarkan warga asing menggunakan kenderaan mereka tanpa kelayakan yang ditetapkan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang sedia ada, demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta pematuhan kepada peraturan yang ditetapkan,” katanya.







