Ops PEWA: 239 warga asing diambil tindakan, 95 kenderaan disita JPJ Selangor

18 Jun 2026, 10:44 AM
Ops PEWA: 239 warga asing diambil tindakan, 95 kenderaan disita JPJ Selangor

SHAH ALAM, 18 JUN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengesan tindakan segelintir warga tempatan yang menyewakan atau membenarkan kenderaan mereka dipandu warga asing tanpa lesen memandu yang sah menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (PEWA) yang dijalankan sejak awal tahun ini.

Timbalan Pengarah JPJ Selangor Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata perkara itu dikesan apabila pemilik hadir membuat tuntutan selepas kenderaan mereka disita dan kes dibawa ke mahkamah.

Beliau berkata perkara sama turut berlaku dalam operasi terbaharu selama tiga hari bermula Selasa lepas di sekitar Balakong, Puchong, Petaling Jaya dan Persiaran Hamzah Alang di sini, dengan kerjasama Jabatan Imigresen (JIM) Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) serta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Pemilik kenderaan dan pemandu warga asing perlu menjelaskan denda yang diputuskan mahkamah sebelum kenderaan boleh dikeluarkan dari depoh sitaan JPJ. Jika mereka gagal menjelaskan denda, kenderaan tidak boleh dituntut keluar,” katanya pada sidang media Ops PEWA di JPJ Selangor di sini hari ini.

Menjelas lanjut mengenai operasi itu, Ahmad Kamarunzaman berkata sebanyak 304 kenderaan diambil tindakan membabitkan 125 motosikal, 90 kenderaan persendirian, 74 kenderaan barangan dan 15 kenderaan perkhidmatan awam.

Selain itu, katanya, sebanyak 239 pemandu warga asing dikenakan tindakan dengan warga Myanmar mencatat jumlah tertinggi, iaitu 50 orang, diikuti Bangladesh (46), Indonesia (44), India (10) dan negara lain (89).

Beliau berkata operasi itu turut merekodkan 734 kesalahan dengan kes tiada Lesen Memandu Kompeten paling tinggi, iaitu 268 kes, diikuti tiada Lesen Kenderaan Motor (207), tiada perlindungan insurans (178), tiada Lesen Kenderaan Barangan (77) dan tiada Lesen Perkhidmatan Awam (empat).

Sebanyak 95 kenderaan turut disita terdiri daripada 61 motosikal, 23 kenderaan barangan, sembilan kenderaan persendirian dan dua kenderaan perkhidmatan awam.

Ahmad Kamarunzaman berkata pihaknya turut mendapati sebahagian kenderaan yang digunakan warga asing tidak diselenggara dengan baik termasuk tayar haus dan sistem brek tidak berfungsi dengan sempurna, sekali gus mendatangkan risiko kepada pengguna jalan raya lain.

Justeru, beliau memberi amaran kepada pemilik kenderaan, majikan dan syarikat pengangkutan bahawa di bawah Seksyen 109 Akta Pengangkutan Jalan 1987, pemilik berdaftar bertanggungjawab terhadap sebarang kesalahan yang dilakukan oleh pemandu yang memandu kenderaan mereka termasuk warga asing.

Katanya, di bawah Seksyen 64 akta sama, JPJ berkuasa menyita kenderaan sekiranya pemandu warga asing tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Bagi syarikat pengangkutan yang menggaji pemandu tidak sah pula, tindakan termasuk penggantungan atau pembatalan permit boleh diambil mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.